KUALA LUMPUR: Langkah memastikan ekosistem universiti awam (UA) terutama bagi memastikan pensyarah tidak terkongkong menyuarakan pandangan dapat mengangkat darjat institusi pendidikan tinggi (IPT) sebagai gedung ilmu disegani dan dipercayai masyarakat.
Pakar pendidikan tinggi, Prof Datuk Dr Azizul Halim Yahya, berpandangan langkah kerajaan melihat semula Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020 (Akta 605) bagi memberi pengecualian kepada UA dalam beberapa perkara adalah tindakan tepat.
Beliau berpandangan yang usaha itu dapat membugarkan aktiviti keilmuan menerusi kebebasan bersuara dalam kalangan pensyarah tanpa rasa takut, namun ia perlulah berpaksikan kepada fakta bagi mengelak fitnah.
“Universiti kalau ikutkan dalam bahasa Latin adalah gedung ilmu di mana di situ tempat kebebasan bersuara tanpa takut untuk menyampaikan pandangan. Saya bersetuju dengan apa yang disarankan. Sekarang adalah masanya
“Pada hari ini, kita lihat universiti kita sekarang ini warganya… berdasarkan pengalaman saya, mereka agak takut menyuarakan pandangan kerana takut dikenakan atau diambil tindakan surcaj dan sebagainya. Akhirnya ini akan membantutkan pemikiran mereka daripada ingin bersuara. Jadi yang ruginya adalah kerajaan.
“Jadi kerajaan atau mana-mana organisasi harus menerima kebenaran yang pandangan itu dilontarkan oleh ahli akademik dari universiti di negara kita. Tak perlu takut kalau kita di pihak atau di tempat yang benar.
“Saya turut bersetuju apa yang ingin disampaikan juga ada batasannya. Tapi bukan batasan itu menyekat sebaliknya mesti berdasarkan fakta bukan melalui imaginasi atau rekaan fantasi mereka saja. Kalau itu maksudnya, sudah berlaku fitnah dan ia perlu diambil tindakan,” katanya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan Dan Pengajian Profesional (iCEPS) Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Semalam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, memberitahu Dewan Rakyat terdapat keperluan untuk melihat semula Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2020 (Akta 605) bagi memberi pengecualian kepada UA dalam beberapa perkara.
Ia termasuk memastikan iklim dan ekosistem UA terutama membabitkan pensyarah tidak terkongkong dalam menyuarakan pandangan mereka.
Menurut Zambry, langkah itu bagi memastikan UA tidak terikat dalam keseluruhan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada badan-badan berkanun, bahkan sudah tiba masanya institusi terbabit juga dikategorikan sebagai badan berkanun bagi mendapatkan pengecualian sama.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pula berpandangan jaminan kebebasan bersuara dalam kalangan pensyarah UA perlu lagi-lagi jika mereka membangkitkan isu tertentu yang ada kaitan dengan kepakaran atau latar belakang pendidikan masing-masing.
Sekiranya terdapat larangan membuat penyataan yang dikuatkuasakan sepenuhnya oleh mana-mana UA, beliau tidak menolak ia boleh mengekang kebolehan seseorang sarjana itu berkongsi kepakaran mereka dengan masyarakat, terutama melalui media massa.
“Beberapa perkara yang mungkin dikaji dan dilihat semula terutama isu yang melibatkan penyataan umum. Seperti mana yang disebutkan oleh menteri (pendidikan tinggi), saya setuju diberi kebebasan untuk menyatakan pandangan apata lagi jika seseorang itu adalah pakar bidang.
“Jadi, sudah tentu kita tahu bahawa apabila timbul sesuatu isu, maka sudah tentu media massa atau masyarakat umum terutamanya ingin mendengar pandangan daripada pakar tertentu (dari UA).
“Sekiranya pakar itu menyatakan pandangan berdasarkan kepakaran beliau, maka saya kira ia boleh kita benarkan dalam ruang lingkup sesebuah IPT kerana kepakaran dan kesarjanaan datang daripada hasil kajian beliau. Bukannya daripada pandangan yang tidak berasas,” katanya.
-BeritaHarian