Penyasaran subsidi RON95 penting bagi reformasi fiskal Malaysia – Rafizi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan 2025 adalah penting bagi reformasi fiskal negara namun berkemungkinan akan menerima kritikan ramai pada peringkat awal, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

-Advertisement-

Bercakap dalam satu temubual bersama Bloomberg TV, beliau berkata kerajaan bersedia menghadapi cabaran pada masa hadapan memandangan perancangan itu boleh menaikkan inflasi dan mencetuskan kenaikan harga.

“Kami bersedia berdepan cabaran yang mendatang. Dari satu segi, kami telah menghabiskan masa yang lama untuk mempersiapkan golongan terbanyak, menyediakan infrastruktur, pangkalan data dan sebagainya.

“Dengan cara ini, rakyat akan mempunyai lebih masa untuk memahami,” katanya sambil menambah langkah kerajaan itu adalah ‘keputusan sekali dalam satu generasi yang memberi kesan kepada kehidupan semua orang’.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu menegaskan bahawa penjimatan yang dicapai daripada langkah penyasaran itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun memberikan jaminan bahawa kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah RM12 bilion untuk keperluan 85 peratus rakyat.

Pada masa ini, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion, yang sewajarnya dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan

serta pengangkutan awam.

Pada masa ini, harga RON95 di negara ini ialah RM2.05 seliter berbanding negara seperti Thailand (RM5.85 sen), Indonesia (RM3.38 sen), Singapura (RM9.02 sen) dan Arab Saudi (RM2.66).

Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah RM20 bilion.

-Advertisement-

Rafizi berkata, inflasi menjadi kebimbangan yang utama, yang mana beliau menganggarkan kitaran inflasi slama 12 bulan selepas kenaikan harga bahan api sebelum kembali stabil ke paras kira-kira dua peratus.

“Harapan saya, dan tanggungjawab kami dalam kerajaan, adalah untuk memastikan kami dapat menguruskannya dengan sewajarnya supaya ia menjadi mampan, perubahan dasar ini adalah mampan.

“Begitu juga, pandangan rakyat mengenai pendekatan subsidi pukal kepada pendekatan subsidi bersasar akan menjadi sebahagian daripada fabrik Malaysia melangkaui pentadbiran (kerajaan) sekarang,” katanya.

Kerajaan menjangkakan kadar inflasi akan berada pada purata dalam julat antara dua hingga 3.5 peratus tahun depan, berbanding 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2024.

Rafizi berkata, anggaran 3.5 peratus itu adalah ‘senario terburuk’ yang dihadapkan dalam dielakkan jika Malaysia menggunakan sistem harga dua peringkat bagi RON95.

Beliau berkata, satu lagi pilihan adalah mengapungkan harga RON95 sama seperti yang dibuat menerusi diesel Jun lalu dan memberikan bantuan tunai kepada golongan memerlukan bagi menyerap impak kos lebih tinggi, namun mengakui bahawa langkah ini mungkin menyebabkan ada yang terlepas daripada mendapat bantuan memandangkan hanya 60 peratus pekerja di negara ini yang berada dalam sektor formal.

Namun, katanya kerajaan tidak boleh menangguhkan lagi penyasaran ini, memandangkan tahap kesihatan fiskal negara bergantung kepada pemotongan subsidi dan perluasan asas cukai.

Mengurangkan defisit belanjawan dan mengekalkan skor kredit tinggi Malaysia adalah keutamaaan bagi kerajaan untuk menarik pelabur dan mengukuhkan ekonomi, katanya.

Mengenai prestasi ekonomi negara, Rafizi berkata Malaysia mampu mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya lima peratus setiap tahun.

“Jika Malaysia mampu mencapai tahap pertumbuhan itu pada setiap tahun, ini akan memberikan ruang kepada kerajaan untuk membina kapasiti lain yang membolehkan Malaysia melonjak ke tahap pertumbuhan yang seterusnya iaitu enam peratus (setahun),” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427