KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia tapak pembinaan di sini kerugian RM118,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 39 tahun itu dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan WhatsApp berkaitan pelaburan di Platform Aplikasi ATS Pro oleh individu tidak dikenali pada 21 April lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa yang dimasukkan ke dalam kumpulan berkenaan memerhatikan perbualan dan maklumat atas keuntungan diperoleh ahli kumpulan dalam pelaburan saham.
Beliau berkata, mangsa kemudian dihubungi seorang individu dikenali sebagai Vincent yang turut berada dalam kumpulan WhatsApp itu yang mendorongnya untuk membuat pelaburan.
Katanya, perjanjian dokumen dibuat secara dalam talian oleh sebuah syarikat yang juga penaung aplikasi itu menyebabkan mangsa yakin dengan keuntungan pelaburan itu.
“Mangsa kemudian berminat untuk melabur dalam aplikasi ‘ATS Pro’ yang menjanjikan keuntungan dengan bermodalkan RM5,000 iaitu keuntungan sebanyak lima peratus hingga sembilan peratus dalam masa antara tiga hingga lima hari dalam Ringgit Malaysia atau mata wang Yuan (mata wang China).
“Pada peringkat permulaan, mangsa diberikan tutorial secara dalam talian tanpa bersemuka dengan paparan slide bersuara individu dikenali sebagai Joel Kim pada Ahad hingga Khamis setiap minggu.
“Selepas menjalani tutorial itu selama beberapa bulan, mangsa memasukkan wang sebanyak RM5,000 sebagai permulaan diikuti beberapa lagi transaksi sehingga mencecah RM118,800 ke dalam dua akaun berbeza,” katanya.
Azli berkata, mangsa cuba mengeluarkan wang keuntungan sebanyak RM2,000 namun gagal sebelum menghubungi suspek dan khidmat pelanggan aplikasi itu.
Katanya, dia sebaliknya diminta membuat bayaran sebanyak RM424,298.08 bagi mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan sebanyak RM1,151,590.40.
“Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
-BeritaHarian