LONDON: Roy Keane mendedahkan beliau sudah ‘berputus asa’ dengan Manchester United.
Bekas kapten kelab itu menyatakan beliau sudah tidak mempunyai masa lagi buat kelab itu seleaps mereka seri 1-1 dengan FC Twente dalam Liga Europa baru-baru ini.
Keane, 53, menegaskan beliau sudah hilang sabar selepas pemain tengah Christian Eriksen mengakui kelab Belanda itu lebih berazam untuk memenangi perlawanan.
Keputusan itu satu daripada beberapa keputusan yang berakhir dengan kekecewaan setakat ini musim ini, ketika kelab itu mengharungi permulaan terburuk dalam kempen Liga Perdana Inggeris.
Warga Ireland itu melontarkan kata-kata kesat mengenai keadaan semasa kelab itu dan mengecam tiadanya mentaliti sepasukan.
Beliau berkata dalam podcast Stick to Football: “Saya fikir selepas perlawanan dengan Twente barulah pemain menyatakan mereka mahukan lebih lagi, saya sudah putus harap pada masa itu.
“Jika luahan itu hadir dari bilik persalinan, tidak hairan pengurus berdepan masalah dan tidak hairan mereka tidak akan memenangi perlawanan bola sepak.
“Tetapi itulah Manchester United. Mereka akan memenangi perlawanan, tetapi mereka akan kalah banyak perlawanan.
“Saya tidak pasti ada satu pasukan di sana. Saya berminat untuk mengetahui apa yang berlaku di padang latihan.
“Anda tidak boleh kembali kepada Harry Maguire dan Eriksen. Mereka kata mereka perlukan pemain baharu, mereka banyak membuat perubahan.
“Mereka melepaskan Fred dan (Scott) McTominay, mereka melakukan perubahan.
“Tetapi kini mereka kembali kepada Maguire dan Eriksen dalam beberapa minggu terakhir.
“Mereka adalah sebahagian daripada masalah itu. Saya tidak menyatakan hanya mereka sahaja, jadi anda fikir Maguire adalah jawapannya?
“Pemain baharu perlu diberi peluang, beraksi beberapa bulan dan perlawanan untuk membentuk hubungan. Pengurus itu (Erik ten Hag) berdegil dan beliau perlu menjadi seorang pengurus.”
-AGENSI
-BeritaHarian