KUALA LUMPUR: Vetece Holdings Bhd berhasrat meluaskan dan memperkukuh operasi di Singapura berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saham penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) perusahaan itu dibuka pada 50 sen, mencatat premium 25 sen daripada harga terbitan 25 sen, dengan 6.99 juta saham didagangkan.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Vetece Holdings, Chan Wai Hoong, berkata hasil yang diperoleh daripada langkah penyenaraian itu akan membolehkan syarikat mengembangkan perkhidmatan kepada semua syarikat operasi di rantau Asia.
“Saya berpendapat ini peluang baik untuk kami memanfaatkan hasil ini bagi memperluas dan mengukuhkan operasi kami di Singapura, bukan sahaja untuk meneroka pasaran Singapura, malah di rantau Asia Pasifik.
“Ia berikutan banyak ibu pejabat serantau terletak di Singapura,” katanya kepada pemberita selepas penyenaraian Vetece Holdings di Bursa Malaysia hari ini.
Wai Hoong berkata, langkah pengapungan syarikat di Pasaran ACE akan menambah baik penjenamaannya dan menggalakkan pelanggan memanfaatkan nilai dan perkhidmatan projek yang lebih besar.
Menurutnya, penyenaraian itu akan membantu meningkatkan kehadiran jenama syarikat memandangkan ia berhasrat untuk muncul sebagai syarikat IT Malaysia terkemuka yang menyediakan perkhidmatan digital berskala besar.
“Selain itu, banyak peluang untuk mengembangkan perkongsian teknologi kami berikutan beberapa rakan kongsi teknologi telah menemui kami. Kami mahu meraih projek yang lebih besar pada masa hadapan,” kata Wai Hoong.
Syarikat itu telah mengumpulkan sebanyak RM24.5 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).
Vetece dalam kenyataan berasingan berkata, daripada hasil itu, kumpulan telah memperuntukkan RM2.2 juta (sembilan peratus) untuk pengembangan produk dan perkhidmatan teras baharu termasuk penyelesaian pengendalian data dan analisis dipacu kecerdasan buatan baharu.
Sebanyak RM3.3 juta (13.4 peratus) akan dilaburkan untuk mengukuhkan operasi di Singapura manakala RM3.8 juta (15.5 peratus) diperuntukkan bagi menubuhkan pusat kecemerlangan untuk penyelesaian perisian.
Kumpulan akan menggunakan RM6.5 juta (26.6 peratus) untuk yuran pelesenan perkakasan dan perisian, RM4 juta (16.3 peratus) bagi pembayaran balik pinjaman manakala baki RM4.7 juta (19.2 peratus) untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.
-BERNAMA
-BeritaHarian