PETALING JAYA: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih tahun penuh berjumlah RM3.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, lebih dua kali ganda jumlah yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya yang berakhir 30 Jun 2023.
Lonjakan ini sebahagian besarnya adalah hasil keuntungan RM2 bilion yang diperolehi daripada penjualan Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) pada Disember 2023.
Kumpulan melaporkan keuntungan bersih teras sebanyak RM1.3 bilion pada tahun kewangan 2024, peningkatan 14 peratus berbanding tahun kewangan 2023, disebabkan oleh keuntungan lebih tinggi daripada perniagaan perindustrian kumpulan di Australia, prestasi kukuh daripada perniagaan automotif di Malaysia, Singapura dan Taiwan, serta sumbangan keuntungan daripada UMW Holdings Bhd (UMW).
Hasil kumpulan meningkat sebanyak 39 peratus kepada RM67.1 bilion pada tahun kewangan 2024, berbanding RM48.3 bilion pada tahun kewangan 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kumpulan telah mengalami tahun yang agak sibuk dari segi pemerolehan di mana tahun lalu, syarikat berjaya menyempurnakan pengambilalihan Cavpower dan UMW.
“Kami juga memuktamadkan penjualan RSDH pada tahun dilaporkan, sekali gus menandakan pengeluaran sepenuhnya daripada segmen penjagaan kesihatan.
“Ini membolehkan kumpulan memberikan tumpuan penuh pada usaha mengembangkan perniagaan teras kami, iaitu perniagaan automotif dan perindustrian,” katanya.
Jeffri berkata, walaupun menghadapi keadaan yang mencabar, prestasi syarikat tetap kukuh, menandakan ketahanan portfolio perniagaan di pasaran berbeza.
“Bahagian perindustrian di Australia telah mencatatkan keuntungan lebih tinggi, terutamanya daripada jualan peralatan dan khidmat sokongan produk yang meningkat.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2024, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM89 juta, manakala hasil bagi suku tahun dikaji meningkat sebanyak 41.4 peratus kepada RM18.8 bilion, berbanding RM13.3 bilion pada suku keempat tahun kewangan 2023.
Pada suku tahun yang dilaporkan, untung sebelum faedah dan cukai kumpulan bagi bahagian perindustrian meningkat 6.4 peratus kepada RM399 juta, dipacu oleh sumbangan untung daripada Australia dan Asia Tenggara.
“Sumbangan ini membantu mengurangkan kesan daripada prestasi yang kurang memberangsangkan di China dan New Zealand,” katanya.
Dalam persekitaran yang mencabar, bahagian permotoran telah melaksanakan penilaian semula strategik operasi dan melakukan rosot nilai berjumlah RM229 juta pada suku tahun yang dilaporkan.
Sementara itu, untung sebelum faedah dan cukai bahagian syarikat menyusut sebanyak 36.7 peratus, disebabkan kerugian operasi di China.
Untung sebelum faedah dan cukai UMW, bahagian ketiga kumpulan, adalah sebanyak RM171 juta untuk suku tahun yang dilaporkan, dengan perniagaan automotif UMW merupakan penyumbang utama.
“Tahun kewangan 2024 merupakan tahun yang mencabar bagi operasi syarikat di China, namun syarikat tetap yakin dengan prospek jangka panjang China dan terus memantau operasi di sana dengan teliti untuk terus berada pada kedudukan yang kukuh,” katanya.
Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10 sen sesaham bagi suku keempat tahun kewangan 2024 di mana pengumuman ini menjadikan dividen keseluruhan berjumlah 13 sen sesaham atau RM886 juta yang dibayar bagi tahun kewangan 2024.
-BeritaHarian