Malaysia kembali jadi ‘syurga’ pelabur asing di Asia Tenggara

Estimate Reading Time: 2 minutes

SINGAPURA: Malaysia kembali menjadi ‘syurga’ pelabur asing di Asia Tenggara apabila mereka kembali ke pasaran yang telah lama diabaikan.

-Advertisement-

Ia berikutan pertumbuhan yang bertambah baik, kerajaan yang stabil dan nilai mata wang yang semakin meningkat, membezakannya dalam kalangan negara rakan setara lain yang masih bergelut dengan perubahan politik.

Pelabur asing telah menyuntik lebih banyak dana ke dalam pasaran hutang dan saham Malaysia tahun ini.

Pada Julai, ketika masalah politik melanda Thailand dan Indonesia, mereka melabur AS$1.75 bilion ke dalam pasaran hutang Malaysia, jumlah tertinggi dalam setahun.

-Advertisement-

Pasaran saham Kuala Lumpur sedang mengejar prestasi tahunannya yang paling kukuh dalam tempoh lebih sedekad.

Penganalisis berkata, ringgit telah menjadi tonggak pencapaian itu dan menjadi mata wang yang mempamerkan prestasi terbaik di Asia setakat ini pada 2024. Ia sepatutnya akan menjadi bertambah baik apabila Rizab Persekutuan (Fed) mula mengurangkan kadar, meningkatkan daya tarikan bon Malaysia.

“Ia adalah prestasi yang agak mengejutkan bagi mata wang itu,” kata Pengurus Portfolio Strategi Bon Pasaran Baharu Muncul Dinamik T Rowe Price, Leonard Kwan.

“Saya fikir kebanyakan prestasi pulangan datang daripada mata wang, bukannya dari bon,” katanya.

Kisah kemunculan semula bagi Malaysia disokong oleh ekonomi yang berkembang pada kadar terpantas dalam 18 bulan pada suku kedua dan persekitaran politik yang stabil sejak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 2022 selepas bertahun-tahun bergolak.

Prestasi rendah pesaing Malaysia di rantau ini telah membantu, dengan kemelut politik di Thailand dan kebimbangan mengenai kerajaan Indonesia, yang akan datang, menjejaskan pelabur.

Pelabur asing kini memiliki 20 peratus daripada bon tertunggak Malaysia, menurut data bank pusat.

Ringgit mencecah paras tertinggi 18 bulan berbanding dolar pada Khamis, menjadikan peningkatan tahun ini kepada lebih lima peratus, jauh berbeza daripada awal tahun ini apabila ia merosot menghampiri paras terendah 26 tahun.

Pakar Strategi Berbilang Aset Kanan di State Street Global Markets, Ben Luk, berkata ringgit mendapat manfaat daripada pengukuhan yen dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila pelabur menarik balik dagangan bawaan popular dan bertukar kepada mata wang yang ‘kurang dimiliki dan bawah nilai’.

Penanda aras saham FBMKLCI telah meningkat lebih 12 peratus tahun ini berikutan ledakan pusat data dipacu kecerdasan buatan (AI), mengatasi peningkatan enam peratus dalam indeks MSCI Asia Tenggara.

Sektor pembinaan, kuasa dan infrastruktur yang menonjol menawarkan pelabur peluang untuk bergerak melangkaui teknologi dan pengguna yang mendominasi di rantau lain, kata Pengurus Portfolio untuk Ekuiti Asia M&G Investments, Vikas Pershad.

“Potensi kepelbagaian ini adalah salah satu faktor utama yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Walaupun penjanaan dana ekuiti di peringkat global telah berkurangan tahun ini, ia berkembang pesat di Malaysia, dengan peruncit rantaian pasaran mini terkemuka, 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd menyasarkan tawaran awam permulaan (IPO) AS$509 juta bulan depan.

Daya tarikan Malaysia sepatutnya bertambah baik apabila ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan serantau mengurangkan kadar, manakala bank pusat Malaysia mengekalkannya dengan stabil di tengah-tengah pertumbuhan kukuh.

Itu berkemungkinan mengekalkan ringgit disokong dan menjadikan bon Malaysia menarik.

Hasil 10 tahun dolar yang dulunya 60 mata asas lebih tinggi berbanding hasil Malaysia hanya tiga bulan lalu, dan kini semakin mengecil.
-Reuters
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427