SPRM tumpaskan sindiket ‘buka kaunter’ seludup warga asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menumpaskan sindiket penyeludupan masuk ke Malaysia warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal.

-Advertisement-

Sindiket ini dipercayai mendapat bantuan beberapa pegawai penguat kuasa sebuah agensi yang ditempatkan di pintu masuk negara, yang bertindak sebagai pemberi maklumat untuk membolehkan warga asing memasuki negara tanpa menjalani prosedur ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata aktiviti sindiket ini terbongkar selepas penahanan 12 individu, terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun, dalam Op Pump yang dijalankan oleh SPRM di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Kelantan semalam.

-Advertisement-

Beliau berkata, antara yang ditahan termasuk empat pemilik syarikat dan tiga orang awam yang dipercayai memainkan peranan dalam menguruskan kemasukan warga asing serta lima pegawai penguat kuasa yang bertugas di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Penahanan dibuat susulan operasi risikan SPRM sejak tahun 2022 ke atas kegiatan sindiket ini yang bersekongkol dengan pegawai daripada agensi penguat kuasa.

“Sindiket ini dipercayai telah meraih keuntungan berjuta-juta ringgit, dan siasatan telah mengesan kemasukan dana berjumlah lebih RM4 juta dari tahun 2022 hingga 2024, yang dipercayai berkaitan dengan kemudahan kemasukan warga asing, dengan sebahagian daripada dana tersebut diagihkan kepada pegawai penguat kuasa terbabit,” katanya.

Buat kaunter khas untuk warga asing

Azam berkata, modus operandi sindiket ini membabitkan ‘penetapan kaunter’, di mana mereka bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa di pintu masuk negara yang ditempatkan di kaunter-kaunter tertentu untuk memudahkan kemasukan warga asing.

Beliau juga berkata, kumpulan warga asing yang ingin memasuki negara akan menghubungi seorang ejen yang bertanggungjawab menguruskan tiket penerbangan dan urusan dengan pegawai penguat kuasa terbabit.

“Ejen itu akan memberikan maklumat tentang kumpulan warga asing tersebut kepada pegawai penguat kuasa yang sedang menunggu di kaunter tertentu, sementara pada masa yang sama, memberitahu warga asing tersebut untuk mendekati kaunter yang ditetapkan sebaik tiba di negara ini, membolehkan mereka dilepaskan tanpa menjalani pemeriksaan yang diperlukan.

“Setelah mereka melepasi kaunter khas tersebut, kumpulan warga asing itu akan dijemput oleh wakil ejen, yang kemudian akan membawa mereka ke destinasi tertentu,” katanya.

Warga asing sepatutnya menjalani pemeriksaan mengikut Pekeliling Imigresen No. 4, 2021, yang menghendaki mereka menunjukkan pasport atau dokumen sah, memiliki visa, mempunyai tiket pulang yang sah, mempunyai dana yang mencukupi untuk penginapan mereka, dan memberikan alamat penginapan atau tempahan hotel.

Bagaimanapun, melalui kaunter khas ini, mereka diberikan laluan tanpa menjalani pemeriksaan yang diperlukan.

Azam menambah bahawa semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk prosiding permohonan reman.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427