KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak berada di AmIslamic Bank Berhad, di Jalan Raja Chulan, antara 24 Februari dan 14 Jun 2011.
Muhammad Shafee dalam hujahannya di akhir kes pendakwaan, berkata sehubungan itu pendakwaan gagal membuktikan anak guamnya menyalahgunakan kedudukan ketika berada di bank berkenaan seperti yang dinyatakan dalam tuduhan.
Pertuduhan pertama terhadap Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan bahawa Najib menyalahgunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB di AmIslamic Bank Berhad.
Muhammad Shafee berkata, pendakwaan gagal menunjukkan sama ada secara tersurat mahupun tersirat bahawa wujud tanggapan Najib menyalahgunakan pejabat atau kedudukannya untuk kepuasan diri sendiri mengikut Seksyen 23(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Melalui keterangan saksi, kes pendakwaan menunjukkan bahawa apa yang berlaku di AmIslamic Bank ialah, wang diterima dalam akaun anak guam saya. Mereka menyatakan menerima suapan satu kesalahan, sedangkan anak guam saya menyatakan beliau tidak pernah berada di bank itu.
“Bagaimana mereka boleh menyatakan anak guam saya di AmIslamic Bank menggunakan kedudukannya untuk satu kepuasan kepada diri sendiri? Pertuduhan jenayah ini pada asasnya adalah cacat.
“Beliau (Najib) tidak pernah melihat bangunan AmBank dan tidak pernah ke bank itu. Bagaimana beliau boleh dituduh salah guna kuasa di AmBank? Ia benar-benar mengelirukan kami dalam membuat pembelaan,” katanya.
Mengikut tuduhan pertama, Najib didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi diri sendiri berjumlah RM60,629,839.43 dengan cara mengambil empat tindakan.
Tindakan pertama ialah pada 1 April 2009, iaitu melalui Memorandum Kementerian Kewangan, Najib mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) bagi membolehkan TIA mendapat pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN).
Bagi tindakan kedua pada 9 April 2009, Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA dan menyebabkan nama TIA ditukarkan kepada 1MDB, yang mengenainya beliau mempunyai kepentingan secara langsung.
Tindakan ketiga Najib pula ialah pada 26 September 2009, di mana beliau mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang bermesyuaratdi The Royale Bintang Damansara, untuk meluluskan satu resolusi.
Resolusi itu membenarkan 1MDB untuk menyertai satu usaha sama bersama PetroSaudi International Limited dengan membuat pelaburan ke dalam modal 1MDB PetroSaudi Limited melalui pembelian sebanyak satu bilion saham biasa di dalam 1MDB PetroSaudi Limited pada harga US$1.00 setiap saham untuk jumlah balasan keseluruhan sebanyak AS$1 bilion.
Manakala tindakan keempat ialah, Najib pada 16 Mei 2011, menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu Resolusi Pekeliling yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion di bawah Perjanjian Kewangan Murabahah bertarikh 31 Mac 2010 dibuat, di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.
Muhammad Shafee berkata, setiap tindakan yang didakwa dilakukan oleh Najib dalam mendapatkan suapan berkenaan sepatutnya dijadikan pertuduhan tersendiri.
“Kanun Tatacara Jenayah tidak pernah membayangkan atau mengenalpasti pertuduhan kecil di bawah tuduhan utama, sebaliknya ia secara jelas menghalang sebarang tuduhan bertindih dan tuduhanyang menyatakan kesalahanberbeza dalam satu pertuduhan sama.
“Keempat-empat kesalahan yang dikatakan dilakukan dan berselindung di sebalik pertuduhan pertama adalah jelas menunjukkan larangan yang dinyatakan dalam Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
-BeritaHarian