KLANG: Stadium Sultan Suleiman atau juga dikenali sebagai Stadium Kota Raja, menjadi lokasi penyanyi Nidza Afham berjoging sebelum dilaporkan hilang dan dijumpai meninggal dunia di Sungai Klang, adalah tempat tumpuan penduduk sekitar Klang dan kawasan berhampiran sejak sekian lama.
Bukan hanya aktiviti riadah seperti joging malah stadium itu menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai program berskala kecil dan besar termasuk kejohahan sukan serta pelbagai aktiviti lain.
Terletak di Jalan Padang ini berhampiran Pusat Bandar Klang, lokasi stadium bukanlah tersorok atau terlindung dari pandangan umum.
Stadium Sultan Suleiman terletak sejauh kira-kira 2.3 kilometer dari Jambatan Kota selain berdekatan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada jarak kira-kira 800 meter, manakala Istana Alam Shah terletak kira-kira 1.6 kilometer.
Tinjauan NSTP pada jam 10.30 malam tadi, mendapati masih ada beberapa orang awam berjoging di luar perkarangan stadium dan semakan pada notis di pintu masuk stadium sudah memaklumkan waktu ditetapkan.
Menurut notis berkenaan, waktu orang awam dibenarkan untuk joging adalah setiap hari Isnin hingga Ahad termasuk cuti minggu dan cuti umum mulai 6 pagi hingga 9 pagi dan sesi petang 4 petang hingga 7.30 malam.
Tinjauan mendapati, keadaan stadium ketika itu dan trek joging ketika itu sudah gelap dan hanya lampu di luar kawasan stadium memberikan simbahan cahaya ke lokasi berkenaan.
Selain individu yang sedang joging dan bersenam, terdapat gelanggang tenis dan litar kereta kawalan jauh di hadapan stadium berkenaan.
Keadaan gelanggang tenis gelap namun litar berkenaan bercahaya dan kelihatan lebih 10 individu sedang bermain kereta menggunakan alat kawalan jauh.
Mengikut laporan, Nidza Afham mengunjungi stadium itu sebelum gagal dihubungi dan dilaporkan hilang.
Nidza Afham yang juga abang kepada penyanyi Aufahanie keluar dari rumah menggunakan perkhidmatan pengangkutan (indrive) ke stadium itu untuk berjoging, kira-kira jam 7.45 malam, Selasa lalu.
Pada jam 9.04 malam hari sama, Nidza Afham gagal dihubungi dan lokasi terakhir keberadaannya melalui aplikasi ‘Find My Iphone’ adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang.
Keluarga mangsa ke lokasi yang dikesan di Jambatan Kota dan menjumpai satu telefon bimbit jenis Iphone dan dompet berisi dokumen milik Nidza Afham seperti kad pengenalan dan kad pelajar manakala kad ATM dilaporkan hilang.
Malam tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki dewasa yang memakai baju bernombor 56 adalah Nidza Afham.
Mayat Nidza Afham ditemui berhampiran Jalan Tepi Sungai, solok sungai, Taman Telok Pulai Indah kira-kira jam 7 petang semalam.
Mayat mangsa yang dibawa naik oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 10 malam dibawa ke Hospital Shah Alam bagi proses bedah siasat.
-BeritaHarian