ALOR SETAR: Lelaki yang terjun ke Sungai Wang Tepus, Kampung Empa, Pokok Sena, semalam kerana panik dengan kehadiran polis ditemui lemas hari ini.
Mayat ditemui selepas 21 jam mangsa dilaporkan terjun ke sungai berkenaan.
Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata mayat lelaki berusia 34 tahun itu ditemukan pada jam 1.38 tengah hari.
Katanya, mayat berkenaan ditemui di dasar sungai oleh pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan selaman sejak pagi tadi.
“Mayat lelaki itu ditemukan kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Cuaca tidak hujan semalam menyebabkan arus tidak terlalu deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Wang Tepus akibat panik dengan kehadiran polis kira-kira jam 4.15 petang semalam.
-BeritaHarian