Nur Aisyah tercicir selepas elak kemalangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelumba kebangsaan, Nur Aisyah Mohamad Zubir mengakui kecewa selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam saingan lebuh raya wanita di Sukan Olimpik Paris 2024, awal pagi tadi.

-Advertisement-

Aisyah, 26, berkata dia mula ketinggalan daripada kumpulan peloton apabila terpaksa mengelak daripada kemalangan ketika perlumbaan memasuki jarak 90 kilometer (km) dan bergelut untuk kembali mengejar selepas mengalami kekejangan otot kaki.

Perlumbaan sejauh 156km itu bermula dan berakhir di jambatan Pont d’lena di Paris.

“Ketika perlumbaan memasuki jarak 90km, ada kemalangan di sebelah saya dan saya terpaksa brek dan menyebabkan saya mula ketinggalan.

“Kemalangan itu berlaku sebelum mula pendakian yang paling sukar dalam perlumbaan ini. Saya cuba melakukan yang terbaik untuk kembali mengejar.

“Namun, saya mengalami kekejangan kaki. Mula-mula kaki kiri dan selepas itu kaki kanan pula. Tidak banyak yang dapat saya lakukan dalam situasi ini.

-Advertisement-

“Saya sangat kecewa kerana gagal menamatkan perlumbaan. Saya memang nak sangat tamatkan perlumbaan.

“Saya harap ini bukan pengakhiran untuk saya, saya mahu kembali bangkit,” kata Aisyah.

Aisyah bagaimanapun masih boleh berbangga apabila menjadi pelumba wanita pertama negara yang beraksi dalam saingan lebuh raya di pentas Olimpik.

Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Amerika Syarikat, Kristen Fulkner dengan catatan masa 3 jam 59 minit 23 saat (3:59:23s) manakala Marianne Vos (Belanda) dan Lotte Kopecky (Belgium), masing-masing merangkul perak (4:00.21s) dan gangsa (4:00:21s).

-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427