TERINGAT penulis dengan kehidupan sebuah keluarga yang terpaksa menjamah siput babi kerana hidup susah. Jika tidak silap, kehidupan keluarga berkenaan pernah disiarkan dalam rancangan televisyen. Ia kisah lama, sekitar 25 tahun lalu.
Selepas derita keluarga berkenaan didedahkan, akhirnya mereka mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan dan pelbagai agensi berkaitan.
Ketika itu, belum ada telefon pintar, apatah lagi media sosial seperti sekarang yang mana hari ini jika ada kes seumpama itu, semuanya boleh ditularkan dengan mudah dan mendapat perhatian kerajaan serta Perdana Menteri.
Kisah kesempitan hidup keluarga terbabit mungkin menjurus kepada isu ‘tidak tahu mencari saluran memohon bantuan’ di samping kelemahan tindakan proaktif jabatan berkaitan mengesan golongan miskin tegar.
Apa pun, itu cuma teori dan yang pasti adalah masih ada orang hidup dalam keadaan miskin tegar dan terpaksa bekerja ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Tidak dinafikan ada yang terbiasa hidup dalam keadaan susah sehinggakan segelintir mereka tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
Akan tetapi, isu miskin tegar terkait dengan komitmen jabatan kerajaan memenuhi tanggungjawab memburu, mencari dan mengeluarkan mereka daripada kepompong miskin tegar. Ia perlu tindakan konsisten dan komited menunaikan amanah.
Bagi menoktahkan miskin tegar, ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan ketumbukan usaha merangkumi semua pihak.
Atas dasar ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dengan visi membasmi miskin tegar. Ada beberapa negeri yang kerajaan sudah berjaya mencapai misi dan visi menamatkan miskin tegar.
Kini kerajaan memfokuskan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di empat negeri yang merekodkan peratusan melebihi paras nasional iaitu Sabah, Kelantan, Sarawak dan Kedah.
Terdapat kebimbangan nyata seandainya miskin tegar gagal dinoktahkan kerana ia berpotensi menular ke generasi berikutnya, lantas mencetuskan kitaran masalah sosial dan penyakit dalam masyarakat.
Justeru, beberapa kajian berkenaan dengan kaitan miskin tegar dan kesihatan misalnya perlu diambil serius dan kerajaan khususnya perlu merencanakan sesuatu untuk membendungnya.
Antaranya dapatan tinjauan UNICEF bertajuk ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ iaitu tinjauan berulang mengenai impak kos sara hidup pascapandemik terhadap isi rumah berpendapatan rendah di Kuala Lumpur.
Ia memaparkan kadar kemiskinan dalam kalangan isu rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang masih tinggi, melebihi 40 peratus.
Berdasarkan tinjauan dijalankan dari 14 Oktober hingga 16 November tahun lalu, situasi itu masih berlaku meskipun keadaan pekerjaan dan pendapatan bertambah baik di ibu kota.
Tinjauan itu turut mendapati kadar kemiskinan di ibu kota kira-kira 1.5 peratus, namun di rumah pangsa kos rendah, statistiknya jauh lebih tinggi pada paras 41 peratus, biarpun berkurangan berbanding 45 peratus ketika pandemik COVID-19.
Lebih menambah tekanan apabila kenaikan harga makanan menyukarkan lagi isi rumah memenuhi keperluan asas dan kanak-kanak, akhirnya menerima tempias apabila tidak mampu makanan tiga kali sehari, berdasarkan kajian itu.
Dapatan dibentangkan Pensyarah Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS), Dr Muhammed Abdul Khalid itu menunjukkan separuh daripada kanak-kanak dikaji, menunjukkan mereka makan kurang daripada tiga kali sehari.
Jika dilihat, pelbagai program bantuan kerajaan diperkenalkan seperti terbaru Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai langkah meringankan beban rakyat, namun keberkesanannya belum terbukti sepenuhnya.
Masih ada kelompangan dari aspek adakah bantuan disalurkan benar-benar membantu golongan sasar dapat meningkatkan tahap kualiti kehidupan mereka, terutama aspek penyediaan makanan mengandungi nutrisi sewajarnya kepada anak.
Masih banyak perlu dilakukan
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Norlin Khalid menekankan penyaluran bantuan kerajaan memerlukan satu penilaian dari aspek keberkesanannya.
Langkah kerajaan memperkenalkan dan meningkatkan peruntukan bagi program bantuan menerusi pakej ‘Rahmah’ sangat wajar, namun sejauh mana ia benar-benar membantu golongan sasar, terutama membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan menuntut penjelasan terperinci.
Menurut beliau, meskipun perangkaan diperoleh setakat ini menunjukkan peningkatan peruntukan kerajaan secara ketara, keberkesanan bantuan itu perlu dinilai dari segi impaknya terhadap kehidupan dan kesejahteraan penerima.
Walaupun program bantuan diperkenalkan kerajaan menunjukkan kesan positif, namun masih banyak perlu dilakukan untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.
Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan mengambil kira bukan saja pendapatan isi rumah sebagai syarat layak mendapatkan bantuan, tetapi jumlah anggota keluarga perlu ditanggung ketua rumah.
Ini kerana, jumlah anggota keluarga lebih ramai memerlukan perbelanjaan lebih tinggi. Oleh itu, golongan ini seharusnya layak menerima bantuan lebih berbanding jumlah ditetapkan sekarang. Bantuan akan dapat disalurkan dengan lebih adil dan efektif seperti sedang diusahakan pasukan Pangkalan Data Utama (PADU).
Bantuan wang disalurkan perlu dipantau dengan teliti untuk memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya penerima. Terdapat laporan sesetengah penerima bantuan tidak menggunakannya dengan bijak, sekali gus mengurangkan keberkesanan program berkenaan.
Selain bantuan menggarap pendekatan penyaluran bantuan itu lebih bersifat ‘beri ikan berbanding beri pancing’, Norlin berpandangan cara itu hanya menyelesaikan sementara masalah sebenar tanpa menyediakan jalan keluar jangka panjang.
Dalam hal ini, pendekatan ‘memberi pancing untuk menangkap ikan’ perlu digemblengkan bersama dengan pemberian bantuan seperti menggalakkan golongan terbabit menyertai program latihan kemahiran dan pendidikan.
Paling mustahak adalah iltizam politik. ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Jika tidak, keadaan akan kekal sama bahkan akan lebih buruk jika tiada langkah intervensi daripada pemerintah.
-BeritaHarian