LONDON: Manchester United berdepan tugas sukar dalam kunjungan ke Anfield bertemu Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Tottenham akan menentang Nottingham Forest malam ini, manakala Aston Villa, yang masih segar dengan kemenangan ke atas Manchester City dan Arsenal, akan bertandang ke Brentford.
United, yang dibelasah 7-0 di Anfield musim lalu, kali ini akan berdepan Liverpool yang turun sebagai pendahulu Liga Perdana Ingggeris.
United kendalian Erik ten Hag, yang baru saja disingkirkan Bayern Munich dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, tewas 12 daripada 24 perlawanan mereka musim ini.
Dengan barisan penyerang yang tumpul, benteng pertahanan yang longgar dan kecederaan pemain-pemain tonggak, sukar untuk melihat Man United melakar sesuatu yang positif di Anfield.
Bagaimanapun United masih mampu meletakkan diri di tangga keenam liga, tiga mata di belakang Tottenham dan enam berbanding Man City yang berada di tangga keempat.
Liverpool sebaliknya cukup tajam di barisan depan dan berjaya mengutip 18 mata walaupun ketinggalan dalam setiap perlawanan berkenaan.
Masalah di Old Trafford berjaya mengalih tumpuan situasi lebih teruk di Stamford Bridge, di mana Chelsea kendalian Mauricio Pochettino bergelut mencari rentak musim ini.
The Blues, yang akan melayan kunjungan pasukan tercorot, Sheffield United esok, kini di tangga ke-12 liga selepas tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir.
Jadual Liga Perdana Inggeris
Hari ini
Nottingham Forest mln Tottenham
Esok
Bournemouth mln Luton
Chelsea mln Sheffield United
Manchester City mln Crystal Palace
Newcastle mln Fulham
Burnley mln Everton
Ahad
Arsenal mln Brighton
Brentford mln Aston Villa
West Ham mln Wolves
Liverpool mln Manchester United
– AFP
-BeritaHarian