IPOH,– Bermain di dalam ‘salji’ secara percuma, antara aktiviti mengujakan buat pengunjung di Spritzer EcoPark Taiping, dekat sini sempena program ‘Spritzer Christmas Fiesta 2019’ yang bermula Jumaat lepas sehingga Rabu ini.
Spritzer dalam satu kenyataan memaklumkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk seisi keluarga akan mengisi program itu yang bermula jam 5 petang sehingga 9.30 malam.
“Seperti tahun lepas, para pengunjung Spritzer EcoPark akan dapat menikmati suasana bermain di dalam ‘salji’ sekali lagi di mana waktu bermain adalah pada pukul 6.30 petang, 8 malam dan 9 malam secara percuma.
“Selain daripada itu, pada 25 Dis, kanak-kanak boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti termasuk membuat kraftangan menggunakan bahan kitar semula, sesi bercerita diikuti sesi menghiasi ‘gingerbread cookies’,” menurut kenyataan itu.
Para peminat fotografi juga berpeluang merakamkan gambar di banyak lokasi menarik di sekitar Spritzer EcoPark selain menikmati keindahan alam flora dan fauna.
Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang program, pengunjung dan keluarga boleh menaiki kereta klasik dihiasi lampu LED dengan kadar RM20 bagi 10 minit.
“Fiesta ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Spritzer, dengan menyediakan pelbagai aktiviti sihat bagi seluruh komuniti di Taiping,” menurut kenyataan itu.– BERNAMA