LONDON: Raphael Varane dijangka meninggalkan Manchester United tetapi tidak hingga musim panas akan datang.
Pemain pertahanan Perancis itu sudah kehilangan tempatnya di Old Trafford dan sesetengah laporan menyatakan dia akan dijual pada jendela perpindahan musim sejuk Januari ini.
Namun difahamkan pengurus Erik ten Hag enggan melepaskan pemain itu hingga hujung musim ketika beliau merencana usaha untuk berakhir di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Berbeza dengan sesetengah dakwaan menyatakan Varane mungkin kembali ke Real Madrid, sumber mendakwa dia lebih berminat untuk berpindah ke Itali atau Arab Saudi.
Seorang sumber berkata: “Masa depan Raphael Varane di Manchester United mungkin berakhir.
“Dia memulakan musim sebagai pemain pasukan utama namun kini menjadi pilihan keempat di belakang Jonny Evans.
“Meninggalkan kelab satu pilihan terbaik buatnya tetapi dia tidak akan pergi pada Januari ini.
“Ten Hag mahu mengekalkan tonggak utama skuadnya bersama untuk memberikan United peluang terbaik mengakhiri kempen dalam kelompok empat teratas. Namun pada musim panas akan datang, United akan mempertimbang tawaran.
“Sudah ada minat ditunjukkan kelab Arab Saudi yang mana Varane boleh meraih gaji lebih lumayan. Namun dia turut berminat dengan Itali kerana ia liga yang dikaguminya dan mahu beraksi di Serie A.”
Pemain Perancis itu kehilangan tempatnya akhir-akhir ini kepada Evans dan Harry Maguire.
– AGENSI
– BeritaHarian