Gergasi Asia mula langkah kanan

Estimate Reading Time: < 1 minute

HONG KONG: Gergasi bola sepak Asia merakam permulaan cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia dengan Australia, Jepun dan Korea Selatan meledak 17 gol antara mereka untuk kemenangan besar di laman sendiri.

-Advertisement-

Laluan ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico bermula di Asia dengan 36 pasukan beraksi semalam.

Australia, yang mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia Qatar 2022 sebelum tewas 2-1 kepada juara, Argentina, membelasah Bangladesh 7-0 di Melbourne.

Ia adalah kemenangan terbesar Australia sejak tahun 2019 dan hadiah sempurna buat Graham Arnold, yang membimbing pasukan untuk penampilan ke-59, rekod terbanyak bagi pengendali Socceroos.

Pemain gantian, Jamie Maclaren meledak hatrik di babak kedua dan keadaan mungkin bertambah buruk buat Bangladesh jika Massimo Luongo berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

“Tujuh gol, tetapi mungkin lebih banyak, yang penting ialah tiga mata. Saya tidak pasti (penjaga gol) Maty (Ryan) diuji, tetapi saya pasti perlawanan seterusnya akan menjadi lebih sukar,” kata penyerang Melbourne City, Maclaren.

-Advertisement-

Australia berada dalam Kumpulan I bersama Palestin dan Lubnan, yang terikat di Sharjah.

Dalam Kumpulan B, Ayase Ueda turut meledak hatrik ketika Jepun membenam Myanmar 5-0.

Daichi Kamada dan Ritsu Doan juga menemui sasaran untuk Jepun mendahului kumpulan yang turut dibarisi Korea Utara dan Syria.

Jurgen Klinsmaan membimbing Korea Selatan untuk kemenangan 5-0 ke atas Singapura di Seoul.

Penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min antara pemain yang menyumbang gol untuk Korea Selatan, dengan Hwang Hee-chan dari Wolverhampton Wanderers meledak gol keduanya buat negara selepas dua penampilan.
– AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427