Tekanan, naratif berbeza cuba dimainkan pihak luar terhadap Malaysia – Pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dasar luar negara ini dalam memberi sokongan kepada kerajaan Palestin, tidak pernah berubah meskipun tekanan dan naratif berbeza cuba dimainkan pihak luar terhadap Malaysia.

-Advertisement-

Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, berkata Malaysia sudah sekian lama menyatakan pengiktirafan kepada Hamas sejak ia dipilih menjadi kerajaan Palestin pada 2006.

“Memang ada tekanan terhadap Malaysia dalam isu sokongan kepada Hamas, namun ia adalah dasar luar negara yang tidak pernah berubah. Bagi negara-negara lain yang tidak mengiktirafnya, ia perkara lain.

“Malaysia tidak terbabit dalam aktiviti keganasan dan tiada memberi bantuan kepada kumpulan pengganas. Sebaliknya, kita hanya membantu penduduk Palestin yang sedang sengsara akibat kekejaman Zionis Israel,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim di San Francisco, dilapor menegaskan pendirian Malaysia berhubung konflik Palestin-Israel, termasuk gesaan untuk gencatan senjata serta menghentikan pengeboman berterusan di Semenanjung Gaza, diputarbelitkan sehingga menampakkan kononnya negara ini menyokong tindakan keganasan.

Perdana Menteri menekankan, setiap pembohongan dan penipuan perlu diperbetulkan selari dengan kenyataannya di Parlimen sebelum ini.

-Advertisement-

Anwar dipetik berkata, Malaysia mengutuk keganasan dalam semua bentuk, dan mengutuk secara mutlak tindakan membunuh dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah serta menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, putar belit yang menuduh Malaysia menyokong pengganas, datang daripada pihak yang tidak mengiktiraf Hamas dan menyifatkannya sebagai kumpulan pengganas, malah turut timbul tuduhan sebagai anti-semitik apabila menyelar tindakan Israel.

“Ia hanya bertujuan mengaburi naratif-naratif tertentu. Namun, kita perlu tahu di Ukraine juga ada Briged Azov yang mahu membebaskan negara itu daripada cengkaman Russia, dan mereka dibantu oleh Amerika Syarikat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Malaysia hanya perlu bertahan terhadap desakan dan tekanan oleh pihak luar, dalam pendirian berhubung konflik Palestin-Israel.

“Kita tidak sekali-kali mengiktiraf pengganas. Dalam hal ugutan yang diterima itu, kita terpaksa bertahan. Ini kerana ugutan berkenaan datang daripada ahli politik dan bukannya daripada kerajaan (negara) itu sendiri,” katanya.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427