Kilang boba Loob Holding di Kapar bernilai RM10 juta mula beroperasi

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Kilang boba atau bebola mutiara berasaskan ubi kayu yang berteknologi terkini milik Loob Holding, peneraju jenama minuman teh tempatan, Tealive sudah mula beroperasi.

-Advertisement-

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo, berkata langkah strategik dengan pelaburan awal bernilai RM10 juta itu adalah seiring dengan visi Loob serta komitmen terhadap kecemerlangan, transformasi, dan inovasi dalam industri minuman di Malaysia dan seluruh dunia.

“Sebagai entiti korporat Malaysia, Loob Holding yakin dengan pelaburan semula di peringkat

tempatan untuk membantu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam industri makanan dan minuman.
“Dengan sokongan rakan kongsi kami dari China, kami turut membantu membawa masuk pelabur asing (FDI),” kata Loo.

Beliau menyatakan bahawa kilang bebola mutiara ubi kayu seluas satu ekar di Kapar, Selangor, adalah langkah berani ke arah merealisasikan visi ini, menunjukkan dedikasi Tealive untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kejayaan inovasi dalam segmen minuman.

“Misi Tealive adalah untuk mencipta pengalaman terbaik bagi semua pelanggan melalui minuman berkualiti tinggi, dengan campuran bebola mutiara. Pembinaan kilang bebola mutiara ubi kayu ini sejajar dengan usaha kami untuk mencapai kecemerlangan.

“Dengan mengawal keseluruhan proses pengeluaran, dari mendapatkan bahan terbaik hingga pengeluaran bebola mutiara ubi kayu istimewa kami, Tealive memastikan bahawa setiap minuman kami mencerminkan kesempurnaan kualiti dan rasa.

“Kami akan meneruskan pelaburan selanjutnya, seperti pemasangan teknologi pembungkusan automatik sepenuhnya pada tahun hadapan,” katanya.

-Advertisement-

Loo menyatakan bahawa dengan kapasiti pembuatan sebanyak 400 tan bebola mutiara sebulan, kilang ini akan menjadi antara yang terbesar di negara ini.

Dalam menceritakan latar belakang kerjasama ini, Loo menyatakan bahawa rakan kongsi Zhejiang Boduo International Trade Co Ltd dan Shanghai Panfei International Trade Co Ltd telah menjadi pembekal yang setia dalam menyokong Tealive sejak pelancarannya pada tahun 2017.

“Selepas lebih kurang dua tahun dan setelah Tealive berkembang dengan pesat, kami mengemukakan idea kepada mereka untuk menghasilkan bebola mutiara di Malaysia.

“Kami segera bersetuju untuk bekerjasama dan merancang untuk memulakan operasi kilang ini pada tahun 2020, namun perkembangan tergendala setelah wabak pandemik melanda. Meskipun menghadapi cabaran kawalan pergerakan (PKP) di China dan Malaysia ketika pandemik, kami berjaya mengatasi semua itu, dan kilang ini kini beroperasi.

“Saat ini, kami beroperasi secara satu syif dan semua pengeluaran adalah untuk kegunaan syarikat kami. Setelah kami meningkatkan kapasiti pengeluaran, kami merancang untuk memperluaskan pasaran dengan mengeksport bebola mutiara ke negara-negara serantau yang lain, dijangka bermula dengan Filipina.

“Tealive, jenama kelahiran Malaysia, bersedia untuk berkongsi bebola mutiara istimewa kami dengan dunia. Kejayaan ini membolehkan kami mengeksport bebola mutiara buatan tempatan ke seluruh dunia.

“Pelanggan Malaysia kami memainkan peranan penting dalam memperkasakan jenama tempatan ini untuk bersaing di pentas antarabangsa, dan sokongan utuh mereka benar-benar mengagumkan kami,” katanya.

Loob Holding diasaskan pada tahun 2010 oleh Bryan Loo, adalah antara peneraju minuman melalui empat jenama iaitu Tealive, Bask Bear, Soda Xpress dan WonderBrew Kombucha.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427