Ikhtiar keluar zon kemiskinan tegar perlu bermula dari rumah

Estimate Reading Time: 2 minutes

BERDASARKAN statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), sejumlah 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar direkodkan di seluruh negara. Ini disahkan daripada rekod pendaftaran dalam sistem e-Kasih dan golongan ini diklasifikasikan sebagai miskin dan miskin tegar.

-Advertisement-

Turut direkodkan dalam sistem ini adalah peringkat usia mereka berada antara 15 hingga 60 tahun. Usia semuda 15 tahun disenaraikan sebagai individu miskin dan miskin tegar. Ternyata golongan usia muda seperti ini mewarisi status kemiskinan daripada keluarga mereka.

Sekiranya komuniti ini tidak ada inisiatif atau tidak dapat keluar daripada lingkungan miskin tegar, secara automatik generasi penyambung akan mewarisi status ini dan berlanjutan ke generasi seterusnya.

Namun, di sebalik mewarisi status miskin tegar daripada ibu bapa, anak muda ini seharusnya mempunyai keinginan untuk keluar daripada status miskin tegar. Mereka perlu memilih sama ada ingin kekal ataupun berusaha keluar daripada status kemiskinan.

Definisi miskin tegar merujuk nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) pada 2022 dinyatakan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin adalah kurang RM1,198, manakala miskin mutlak pendapatan kurang daripada RM2,589.

Jumlah miskin tegar hari ini terus meningkat, terutama di kawasan bandar dengan taraf hidup mereka lebih tinggi berbanding luar bandar kerana perlu menanggung perbelanjaan harian tinggi seperti kos tempat tinggal, makanan dan ke tempat kerja.

Sekiranya pendapatan bulanan diperoleh tidak dirancang dengan baik, modal harian untuk ke tempat kerja tidak akan mencukupi. Ini menjejaskan kehadiran mereka ke tempat kerja yang tujuan utamanya demi untuk mendapatkan gaji bulanan itu.

Signifikan dengan kenaikan harga barang keperluan asas seperti beras, telur dan gula secara tidak langsung ketika ini memerlukan setiap individu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran pengurusan kewangan.

Celik kewangan bantu atasi miskin tegar

-Advertisement-

Celik kewangan atau lebih dikenali sebagai literasi kewangan mampu membantu individu keluar daripada lingkungan miskin tegar.

Jika pada peringkat sekolah menengah pendedahan kepada literasi kewangan diterapkan kepada pelajar, mereka lebih bersedia menghadapi dunia sebenar dalam merancang kewangan pada masa akan datang.

Nilai tambah yang boleh dibawa pelajar juga mampu membantu keluarga mereka berstatus miskin tegar untuk merancang dengan lebih baik atau sekurang-kurangnya mempunyai kesedaran. Untuk berhijrah daripada keluarga berstatus miskin tegar kepada status lebih stabil, diakui bukan sesuatu yang mudah.

Apa yang penting, masyarakat perlu lebih bersedia dan dilengkapi sokongan asas kuat seterusnya dapat keluar daripada zon miskin tegar serta menyumbang kembali kepada masyarakat.

Namun, pada akhirnya ia tetap bergantung kepada pilihan dalam membuat keputusan. Sekiranya mereka selesa dengan gaya hidup semasa, iaitu terus bergantung hidup kepada subsidi kerajaan dan ihsan masyarakat, kitaran hidup miskin tegar kekal diwarisi daripada generasi ke generasi.

Apa yang penting, semuanya perlu bermula dari rumah dengan peranan dan tanggungjawab ibu bapa perlu dimainkan sebaik mungkin dan betul. Ibu bapa dan ahli keluarga perlu mempunyai kesedaran kepentingan pendidikan awal di sekolah seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Kemahiran literasi maklumat dalam aspek kewangan juga penting kepada setiap individu kerana membantu membuat penilaian, seterusnya menikmati hasil yang lebih baik.

Tidak lupa, aspek modal insan juga menjadi harapan untuk diterapkan kepada golongan ini sejak peringkat awal. Ia boleh membentuk individu berperibadi tinggi dan menjadi faktor dorongan mengubah masa depan mereka sendiri ke tahap lebih baik.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Pengajian Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427