KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM225 juta pada tahun depan bagi pelaksanaan Program Penyeragaman Harga (PPH) bertujuan memastikan penduduk di kawasan pedalaman dapat menikmati harga tujuh barangan kawalan yang ditetapkan.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tujuh barangan kawalan terbabit ialah beras, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan meningkatkan lokasi pusat jualan bagi PPH di enam negeri, iaitu Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang kepada 1,727 berbanding 1,061 kini.
“Melalui PPH, ia memberi peluang kepada penduduk di kawasan pedalaman untuk membeli tujuh barangan itu pada harga kawalan dan harga sama seperti di bandar atau pekan terdekat apabila kita menanggung kos pengangkutan.
“Secara keseluruhan, program ini berjaya mengawal harga tujuh barangan itu di kawasan terbabit. Sebagai contoh, harga LPG setong 14 kilogram (kg) di Zon Pensiangan ialah RM65 sebelum pelaksanaan program ini. Namun selepas program ini dilaksanakan, LPG itu dijual hanya pada harga RM26.60 setong,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) mengenai keberkesanan pelaksanaan PPH dalam menangani kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman, terutama di Sabah.
Menjelaskan lanjut, Armizan berkata, pelaksanaan PPH memberikan implikasi kewangan sebanyak RM93 juta terhadap kerajaan pada 2009 dan meningkat kepada RM225 juta bagi tahun ini dan tahun depan.
Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada terdapat cadangan untuk memperluas senarai barangan dimasukkan ke dalam PPH pula, Armizan berkata, perkara itu perlu mengambil kira aspek ruang fiskal yang ada terlebih dahulu.
“Kita akan mengambil kira berdasarkan ruang fiskal yang ada sekiranya ia boleh diperluaskan kepada barangan lain.
“Ada kawasan tertentu yang lokasi pusat jualannya dianggap sudah ‘graduate’ berikutan mempunyai akses jalan raya dan liputan bekalan lebih dekat.
“Mungkin kawasan itu akan dikeluarkan daripada senarai dan kita boleh mempertimbang untuk memasukkan senarai barangan lain dalam program ini,” katanya.
Armizan turut memaklumkan bermula 1 Mei lalu, kerajaan buat pertama kalinya melaksanakan perolehan tender terbuka bagi pelantikan syarikat pengangkutan dalam program PPH, dengan sebanyak 146 syarikat sudah dilantik hingga kini.
– BeritaHarian