Latih kepakaran penjawat awam jadi ’empat bersimpul satu’

Estimate Reading Time: 2 minutes

Langkah kerajaan memperuntukkan antara RM30 juta hingga RM40 juta setahun melatih penjawat awam meningkatkan kepakaran pelbagai bidang baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, sebenarnya adalah ‘pelaburan’ penting kerana kedudukan golongan itu sebagai tulang belakang pelaksanaan dasar dirangka demi kemajuan negara dan kepentingan rakyat. Ini kerana kakitangan awam berpengetahuan dan berkepakaran, terutama dalam bidang Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) serta memiliki profesionalisme tinggi adalah prasyarat menjayakan Malaysia MADANI, Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, diarahkan mengenal pasti penjawat awam layak dihantar menghadiri program latihan sesuai permintaan dan kehendak semasa terutama berkaitan bidang transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), transisi tenaga, komunikasi, pertanian dan teknologi makanan, sekuriti siber, ketenteraan, kepolisan serta banjir. Mereka akan menerima latihan dan pendedahan sama ada di syarikat swasta atau universiti terkemuka dengan menjalani kursus khas antara enam bulan hingga setahun, sekali gus memberikan kumpulan bakat berkualiti kepada kerajaan tanpa bergantung kepada konsultan asing bukan sahaja memerlukan kos tinggi, bahkan mungkin tidak dapat dipraktikkan dalam konteks tempatan sepenuhnya.

Justeru, kita meminta proses pemilihan penjawat awam terbabit dibuat teliti dan adil dengan penilaian prestasi, potensi serta kebolehan menyeluruh untuk memastikan ‘pelaburan’ itu memberikan pulangan optimum. Kita tidak mahu mendengar ‘pahat berbunyi’ mengenai pemilihan itu, terutama berunsurkan pilih kasih atau tangkap muat kerana ia bukan sahaja membabitkan wang rakyat, bahkan kritikal kepada pelaksanaan dasar sangat diperlukan negara melepasi cabaran getir pemulihan pascapandemik, krisis ekonomi global akibat konflik geopolitik daripada perang Russia-Ukraine hingga Israel-Palestin dan kesan perubahan iklim terutama perubahan cuaca melampau dan banjir luar musim.

-Advertisement-

Dalam konteks ini, kita mencadangkan kerajaan menganalisis keperluan kepakaran dari semasa ke semasa dan membandingkannya dengan trend industri dan teknologi pantas berubah untuk membolehkan penyesuaian latihan kepada keperluan semasa dan masa depan. Malah, kerajaan juga perlu memastikan ia bukan bersifat one-off, sebaliknya mempunyai latihan susulan supaya lebih adaptif terhadap sebarang perubahan penting yang hakikatnya tidak memerlukan perbelanjaan besar kerana boleh menggunakan konsep pembelajaran dalam talian.

Kepada penjawat awam, kita menggesa mereka menunjukkan potensi untuk dipilih sebagai golongan ‘creme de la creme’ atau kelompok terunggul, manakala yang terpilih pula mesti memanfaatkan latihan itu sebagai peluang mengasah keupayaan dan menajamkan kepakaran untuk menyokong visi negara ke arah kemajuan ekonomi lestari, inovatif dan berdaya saing tinggi. Era ini tidak hanya menuntut kakitangan awam yang menjadi penerima arahan dan pelaksana keputusan semata-mata, sebaliknya bertindak sebagai ‘rakan strategik’ yang memberikan nilai tambah dalam menjayakan dasar besar negara seperti pepatah ’empat sudah bersimpul satu’, iaitu kesempurnaan disebabkan berilmu, berakal, mahir dan rajin.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427