Puluhan ribu rakyat Palestin selamatkan diri ke selatan Gaza

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEMENANJUNG GAZA: Puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari pertempuran dan pengeboman di Gaza, ketika Israel memaklumkan rejim itu akan mengetatkan kurungan serta menolak gencatan senjata dan membebaskan tebusan.

-Advertisement-

Cadangan melakukan gencatan senjata bagi melindungi orang awam sudah disuarakan lebih sebulan lalu selepas pejuang Hamas menyerang Israel.

Israel kemudiannya melakukan serangan balas memusnahkan pejuang Hamas dan bertindak menyerang dengan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat ke atas Semenanjung Gaza yang menurut Kementerian Kesihatan Palestin membunuh lebih 10,500 orang yang kebanyakannya kanak-kanak.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak untuk gencatan senjata di Gaza, bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

Tentera Israel berkata seramai 50,000 orang meninggalkan utara Gaza ke selatan semenanjung semalam ketika pertempuran antara pejuang Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dengan rejim zionis Israel.

“Kami melihat hari ini bagaimana 50,000 penduduk Gaza berpindah dari utara ke selatan Gaza.

“Mereka pergi kerana mereka faham Hamas hilang kawalan di utara, dan di selatan lebih selamat,” kata jurucakap tentera Daniel Hagari.

Kira-kira 15,000 orang menyelamatkan diri kelmarin berbanding 5,000 pada Isnin serta 2,000 pada Ahad, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

-Advertisement-

Ketua hak asasi PBB, Volker Turk mengecam Israel berhubung pemindahan paksa ketika lawatannya ke sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir iaitu satu-satunya jalan keluar dari wilayah terkepung yang tidak dikawal oleh Israel.

“Hukuman kolektif oleh Israel terhadap orang awam Palestin juga adalah jenayah perang, begitu juga dengan pemindahan paksa orang awam yang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang akhbar.

Tambahnya, bantuan yang disalurkan juga adalah sedikit dan menjadi kewajipan Israel untuk memastikan keperluan asas kehidupan mereka perlukan pada tahap maksimum.

Seorang pemimpin Hamas memberitahu AFP bahawa pemindahan penduduk Palestin yang cedera dan penduduk berstatus dua kewarganegaraan terganggu semalam walaupun orang ramai menunggu di terminal lintasan dan ia didakwa kerana keengganan Israel untuk meluluskan senarai yang cedera dibawa melintasi sempadan.

Sumber yang rapat dengan Hamas berkata rundingan sedang dijalankan untuk membebaskan tebusan termasuk enam warga Amerika Syarikat (AS), sebagai balasan kepada gencatan senjata selama tiga hari di Gaza.

Terdahulu, sumber berasingan yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata Qatar sedang menjadi pengantara rundingan dalam penyelarasan dengan AS untuk membebaskan antara 10 hingga 15 tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata satu hingga dua hari.

– AFP

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427