KUALA LUMPUR: Hasil daripada pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dijadualkan bermula 1 Mac tahun depan adalah dianggarkan sekitar RM800 juta setahun.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata CGT hanya akan dikenakan kepada pelupus saham tidak tersenarai yang terdiri daripada syarikat, perkongsian liabiliti terhad, koperasi dan badan amanah, sama ada entiti tempatan ataupun asing yang merupakan pemegang saham di dalam sesuatu syarikat.
“Bagi tujuan ini, pindaan perundangan yang terbabit sedang dilaksanakan. Garis panduan akan turut dikeluarkan bagi memberi penerangan lebih jelas berkaitan pelaksanaan CGT,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) sama ada kerajaan sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan implikasi pelaksanaan CGT terhadap saham tidak tersenarai dan garis masa cadangan pelaksanaan CGT serta unjuran peningkatan hasil daripada pelaksanaannya.
Anwar berkata, keputusan kerajaan untuk tidak mengenakan CGT ke atas saham tersenarai adalah untuk memastikan pasaran modal terus berkembang bagi syarikat-syarikat tersenarai sedia ada dan selari usaha mengekalkan keyakinan pelabur
“Langkah ini juga akan dapat meningkatkan tahap daya saing pasaran modal negara pada peringkat global,” katanya.
Selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pemegang taruh, beliau berkata, kerajaan berpandangan langkah awal melaksanakan CGT dengan tumpuan ke atas pelupusan saham tidak tersenarai dalam syarikat tempatan oleh pembayar cukai selain individu, adalah wajar.
“Antara pemegang taruh yang turut memberikan maklum balas ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), serta Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA).
“Langkah ini selari dengan hala tuju mempermudah serta menambah baik aspek pentadbiran cukai, di samping sebagai salah satu usaha mempelbagaikan sumber hasil pendapatan negara,” katanya.
-BeritaHarian