AS hantar dron ke Gaza cari tebusan ditahan Hamas

Estimate Reading Time: < 1 minute

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bertindak menghantar dron pengawasan ke Gaza untuk mencari tebusan membabitkan rakyatnya yang ditahan pejuang Hamas sejak 7 Oktober lalu.

Dua pegawai kerajaan AS, yang mengesahkan perkara itu berkata, negara berkenaan menerbangkan dron risikan ke atas Gaza untuk membantu mengesan lokasi tebusan.

Menurutnya, AS sudah menjalankan penerbangan dron selama lebih seminggu lalu.

“Seramai 10 warga AS masih belum diketahui nasibnya adalah antara lebih 200 tahanan di Gaza, dan mereka dipercayai ditahan dalam terowong, yang menjadi rangkaian markas Hamas,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Semalam, tentera Israel mengepung Kota Gaza yang juga bandar utama Semenanjung Gaza, dalam serangan mereka ke atas Hamas.

Sementara Hamas melakukan pertahanan dari terowong.

Bandar di utara Gaza menjadi tumpuan serangan bagi Israel, yang berikrar untuk memusnahkan struktur pentadbiran Hamas dan meminta orang awam mengosongkan kawasan terbabit.

Menurut Israel, pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke Israel pada 7 Oktober, sehingga mengorbankan 1,400 orang, kebanyakannya orang awam.

Rejim Zionis kemudiannya melancarkan serangan balas membabitkan bom dan serangan darat ke atas kawasan Palestin yang mempunyai seramai 2.3 juta penduduk.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, serangan sejak hampir tiga minggu lalu itu membunuh sekurang-kurangnya 9,061 orang setakat ini.
– REUTERS
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464