Mahkamah kekalkan keputusan tolak saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta dikemukakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Tan Sri Lim Kit Siang berhubung artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

-Advertisement-

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Dalam penyataan tuntutan, Mohamed Apandi sebagai plaintif pada 6 Mei 2019, memaklumkan Kit Siang yang juga bekas Penasihat DAP menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk ‘Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ dalam portal Malaysiakini.

Mohamed Apandi yang dilantik sebagai Peguam Negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 mendakwa perkataan fitnah dalam artikel itu, antara lain membawa maksud beliau bersubahat dan terbabit kegiatan jenayah terutama skandal 1MDB, tiada integriti, tidak bermoral, tidak beretika serta menyalahgunakan kuasa.

-Advertisement-

Plaintif juga mendakwa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan sengaja ditulis untuk menjatuhkan imej serta kredibilitinya sebagai Peguam Negara demi mendapatkan publisiti murahan.

Selain itu, penerbitan artikel itu didakwa menyebabkan plaintif berasa malu terhadap keluarga, kenalan dan warga profesional dalam kalangan ahli jurusan undang-undang.

Berita lanjut menyusul.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427