BANDARAYA PANAMA- Pihak berkuasa Panama berkata dua lagi banduan maut susulan pergaduhan di penjara La Joyita di timur Bandaraya Panama, yang setakat ini meragut 14 nyawa, lapor agensi berita Xinhua.
Laporan awal yang dikeluarkan pada lewat Selasa mendedahkan 12 banduan ditembak mati dan 11 lagi cedera dalam insiden pergaduhan antara kumpulan itu.
Pergaduhan yang disifatkan paling dahsyat dalam sejarah Panama itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan pada Selasa.
Setakat ini, tiada pengawal atau kakitangan penjara yang menjadi mangsa.
Pihak berkuasa akan mengadakan siasatan untuk memastikan siapa dalang utama di sebalik insiden itu.
Presiden Panama Laurentino Cortizo hari ini berkata beliau akan berunding dengan Majlis Keselamatan negara dan pasukan polis untuk memastikan insiden serupa tidak berulang.- BERNAMA