GENEVA: Semenanjung Gaza kini menjadi kubur bagi ribuan kanak-kanak, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, yang khuatir lebih ramai akan maut kerana kekurangan air.
kementerian Kesihatan Hamas berkata serangan Israel sejak 7 Oktober lalu terhadap Gaza menyebabkan 8,525 mangsa maut, sebahagian besarnya orang awam termasuk lebih 3,500 kanak-kanak.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), James Elder, berkata angka kematian kanak-kanak akibat pengeboman besar-besaran dikhuatiri terus bertambah.
“Kegerunan terbesar kami ialah laporan mengenai kematian kanak-kanak, yang pada mulanya melaporkan puluhan mangsa, bertambah kepada ratusan dan kemudian mencecah ribuan kematian dalam tempoh hanya dua minggu.
“Angka ini membimbangkan, dilaporkan lebih 3,450 kanak-kanak dibunuh manakala peningkatannya agak ketara setiap hari, menjadikan Gaza kubur ribuan kanak-kanak dan menjadikan kehidupan umum lebih sengsara.
“Masih ramai kanak-kanak mangsa pengeboman yang sepatutnya boleh diselamatkan jika bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka,” katanya kepada wartawan di Geneva menerusi pautan video.
Tambah beliau, sebih sejuta kanak-kanak di Semenanjung Gaza juga tiada akses kepada bekalan air bersih.
Duta Israel di Geneva, Meirav Eilon Shahar, memberitahu wartawan bahawa Hamas menahan 33 kanak-kanak sebagai tebusan, yang terkecil berusia sembilan bulan.
Menurut Elder pula, statistik pusat perubatan di Gaza menunjukkan 940 kanak-kanak masih hilang.
“Terdapat 130 bayi pra-matang yang bergantung kepada inkubator, 61 peratus di wilayah utara, dalam keadaan sesak, tiada ubat dan kemusnahan terhadap infrastruktur air serta kumbahan,” katanya.
– AFP
– BeritaHarian