BNM dijangka elak guna OPR bagi sokong nilai ringgit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2023 pada Khamis ini akan menjadi perhatian, terutama dengan tekanan yang diterima daripada keputusan diambil oleh bank pusat di Indonesia dan Filipina baru-baru ini untuk menaikkan kadar faedah bagi menyokong mata wang negara masing-masing.

-Advertisement-

Walau bagaimanapun, penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengelak untuk menaikkan kadar faedah bagi menyokong mata wang tempatan, sekali gus mengekalkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berada pada 3.0 peratus sejak Julai lalu.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan berkata, di sebalik kenaikan yang diumumkan oleh Bank Indonesia (BI) dan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP), OPR berkemungkinan besar akan dikekalkan pada 3.0 peratus apabila MPC mengumumkan keputusan dasarnya pada Khamis ini.

“Berdasarkan nada pernyataan (BNM), kami menjangkakan MPC akan terus menganggap pendirian dasar monetari sebagai menyokong ekonomi dan konsisten dengan pertumbuhan serta keadaan inflasi semasa, sambil menggunakan kaveat seperti kebiasaan untuk memantau perkembangan sedia ada,” kata bank pelaburan itu dalam nota yang ditulis oleh penganalisis, Winson Phoon dan Se Tho Mun Yi.

BI baru-baru ini membuat keputusan mengejutkan untuk menaikkan kadar faedah walaupun inflasi di negara itu berada di tahap lingkungan sasaran 2.4 peratus yang ditetapkan oleh bank pusat Indonesia.

Gabenor BI, Perry Warjiyo, dilaporkan berkata kenaikan mengejutkan itu bermatlamat untuk menstabilkan nilai rupiah yang terjejas dan meminimumkan pengaruhnya terhadap inflasi pengguna.

Di sebalik kenaikan mengejutkan itu, rupiah jatuh ke paras paling rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak April 2020, iaitu semasa permulaan pandemik COVID-19, memberi petunjuk bahawa BI sekali lagi berdepan kesukaran untuk membendung kelemahan mata wang negara itu.

BSP pada minggu lalu pula sekali lagi melaksanakan langkah mengetatkan monetari susulan satu mesyuarat tergempar selepas inflasi di Filipina melonjak 6.1 peratus pada September apabila harga makanan meningkat.

Gabenornya, Eli Remolona dilaporkan berkata kenaikan kadar faedah akan terus dilaksanakan seandainya situasi inflasi menjadi bertambah buruk.

-Advertisement-

Sementara itu, Maybank IB berkata, jangkaan BNM akan mengekalkan OPR pada mesyuarat terakhir 2023 juga adalah bersandarkan kepada kemungkinan bahawa bank pusat AS, Rizab Persekutuan (Fed) akan turut mengekalkan lagi kadar tidak berubah pada 5.25 hingga 5.50 peratus dua kali berturut-turut semasa mesyuarat dasarnya minggu ini, seperti unjuran konsensus.

Ia berkata, kenyataan yang bakal dikeluarkan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka memperakui perangkaan luar jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan suku ketiga 2023 yang mantap.

Walau bagaimanapun, Maybank IB berkata unjuran itu juga dibuat di tengah-tengah petunjuk bahawa inflasi di AS masih kekal tinggi berbanding sasaran dua peratus, meskipun terdapat kemajuan yang ditunjukkan hasil daripada kenaikan kadar sebelum ini.

“Gabungan data makro yang mantap itu bermakna bahawa Fed dengan jelas mahu meneruskan lagi panduan supaya ada lagi tambahan kenaikan kadar, walaupun tiada kemas kini kepada rumusan unjuran ekonomi dalam mesyuarat kali ini,” katanya.

Ringgit jatuh hampir lapan peratus berbanding dolar AS pada tahun ini.

BNM mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sejak Julai lalu, yang meletakkannya pada diskaun tertinggi berbanding ambang teratas kadar dana persekutuan AS, menjadikannya kurang menarik kepada pelabur yang memegang dolar untuk membeli aset-aset dalam denominasi ringgit.

Mata wang tempatan jatuh ke paras RM4.7958 sedolar AS minggu lalu, paling lemah dalam tempoh lebih 25 tahun.

Jika ringgit melepasi paras RM4.8850 sedolar AS, ia akan menjadi paras paling rendah dalam sejarah.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427