KUALA LUMPUR: Platform media sosial TikTok hari ini menafikan tuduhan kerajaan Malaysia bahawa ia menyekat kandungan pro-Palestin dan menyifatkannya sebagai ‘tidak berasas’.
Malaysia semalam memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap firma media sosial TikTok dan Meta, atas dakwaan platform berkenaan mengehadkan kandungan yang menyokong perjuangan Palestin.
Meta memberi maklum balas semalam, mengatakan tuduhan itu ‘tidak benar’ dan ia tidak mengekang hak bersuara di laman Facebook miliknya.
Jurucakap TikTok, dalam e-mel kepada Reuters hari ini, turut menolak tuduhan Malaysia mendakwa ia menyekat kandungan pro-Palestin.
“Dakwaan ini tidak berasas. Garis panduan komuniti kami berpegang kepada kesaksamaan kepada semua kandungan TikTok, dan kami komited untuk sentiasa melaksanakan dasar bagi melindungi komuniti,” katanya.
Meta dan TikTok menakrifkan Hamas, kumpulan Islam yang mentadbir Gaza, sebagai ‘pertubuhan berbahaya’ dan mengharamkan kandungan yang memujinya.
Pejuang Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh selain lebih 200 dijadikan tebusan.
Kementerian Kesihatan di wilayah ditadbir Gaza berkata, setakat semalam, 7,028 warga Palestin terbunuh akibat serangan udara Israel, termasuk 2,913 kanak-kanak.
Sejak keganasan meletus, kedua-kedua platform media sosial itu sudah mengambil langkah bagi menambahbaik aspek kesederhanaan dan mengeluarkan atau meletakkan label pada kandungan visual yang mengerikan.
Meta, pada pertengahan Oktober, berkata ia sudah mengeluarkan atau melabelkan hampir 800,000 kandungan dalam bahasa Yahudi atau Arab, sejak serangan & Oktober lalu.
Seperti Meta, TikTok juga minggu ini mengeluarkan lebih 775,000 kandungan video dan 14,000 penstriman langsung sejak serangan itu.
-REUTERS
-BeritaHarian