JOHOR BAHRU: Tindakan lebih tegas dan agresif terhadap mereka yang menyembunyi atau gagal melaporkan kes penderaan seksual dalam kalangan kanak-kanak, akan membantu mengurangkan kes sedemikian di negara ini.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut memuji langkah tegas yang mahu diambil kerajaan itu namun, mereka mahu pelaksanaan dibuat bersungguh-sungguh bagi memastikan mangsa penderaan seksual mendapat pembelaan sewajarnya.
Presiden Pertubuhan Pergerakan Wanita (Jewel) Johor, V Thanam, berkata langkah mendakwa mereka yang gagal melapor dan menyembunyikan kes penderaan seksual itu tepat pada masanya.
Katanya, ia berikutan mangsa iaitu kanak-kanak adalah golongan tidak berdaya mempertahankan diri dan mengharapkan perlindungan dari orang lebih dewasa.
“Pertubuhan kami banyak berhadapan kes-kes sebegini dengan golongan terdekat dengan mangsa enggan tampil membuat laporan kerana malu, aib atau takut dengan persepsi masyarakat terhadap mereka atau reputasi organisasi mereka.
“Kanak-kanak yang didera secara seksual ini menghadapi trauma dan kesan psikologi yang sangat teruk, dengan kelewatan tindakan diambil sudah tentu akan mengakibatkan kesan lebih buruk.
“Akta 792 sudah menggariskan mengenai perkara ini dan sudah tiba masanya untuk pelaksanaan dibuat secara bersungguh-sungguh bagi membela nasib mangsa penderaan seksual di negara ini.
“Dengan langkah lebih tegas diharap masyarakat khususnya mereka yang hampir dengan mangsa tidak lagi mengambil sikap bersikap berdiam diri, sebaliknya membuatkan mereka tampil melaporkan kejadian keji ini kepada pihak berkuasa sekali gus mampu menyelamatkan mangsa dera seksual” katanya ketika dihubungi.
BH dalam laporan muka depannya hari ini melaporkan guru sekolah, jiran dan ahli keluarga kanak-kanak mangsa penderaan seksual yang menyembunyikan atau gagal melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa, akan dikenakan tindakan pendakwaan.
Mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu mengetahui berlaku kes penderaan seksual kepada kanak-kanak tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ehsan Penyayang, Faridah Mustafa, berharap langkah tegas kerajaan itu disusuli dengan tindakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih cepat dan berkesan.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan pesalah dapat ditahan segera bagi siasatan dan pihak melaporkan kejadian tidak dipandang serong dan akhirnya dipersalahkan.
“Langkah mahu mendakwa individu yang gagal atau sembunyikan kes penderaan seksual kanak-kanak perlu dilaksanakan dengan segera namun perlu disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang sistematik dan cepat.
“Terdapat kes penderaan seksual berlaku yang dilaporkan namun ada yang terlalu lambat diambil tindakan menyebabkan mangsa penderaan seksual terus tersiksa.
“Ia menyebabkan mereka yang melaporkan kes sedemikian berasa tawar hati kerana merasakan laporan mereka tidak dianggap serius.
“Oleh itu, kami sangat alu-alukan langkah tegas yang mahu diambil kerajaan ini kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan kes penderaan seksual di kalangan kanak-kanak malah akan menyebabkan masyarakat lebih cakna selepas ini,” katanya.
-BeritaHarian