Harga sawit diunjur kembali atas RM4,000 tahun hadapan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kelemahan semasa harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka bersifat sementara dan berpotensi lebih baik bermula 2024 dengan unjuran harga RM4,000 satu tan, demikian kata penganalisis.

-Advertisement-

Penganalisis HLIB Research, Chye Wen Fei, berkata prospek MSM dijangka lebih baik tahun hadapan berikutan simpanan tinggi di negara pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia dijangka akan mencecah paras puncaknya dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, antara faktor lain yang akan menyokong termasuk sebaran Palm Oil – Gas Oil (POGO), yang jika berpanjangan akan menggalakkan permintaan minyak sawit, dan kesan El Nino terhadap pengeluaran sawit mungkin akan bermula dari separuh kedua 2024 dan seterusnya.

Katanya, pihaknya mendapati sebaran POGO telah bertukar ke wilayah negatif sejak Ogos 2023, apabila harga MSM merosot dan harga minyak meningkat.

Jelasnya, penyebaran POGO negatif berkemungkinan akan memberikan sokongan kepada harga MSM kerana ia memberi makna bahawa marjin campuran yang lebih baik menghasilkan biodiesel berasaskan sawit, justeru meningkatkan prospek permintaan untuk minyak sawit terutamanya apabila penyebaran POGO sedemikian berpanjangan.

“Kami membuat pelarasan kepada unjuran harga MSM 2023 (dengan) rendah sebanyak RM150 kepada RM3,850 satu tan berikutan sentimen harga MSM yang lemah kebelakangan ini.

“Namun, kami menaikkan unjuran harga MSM 2024 sebanyak RM200 kepada RM4,000 satu tan memandangkan kami jangka output MSM rendah akan melonjakkan sentimen harga MSM,” katanya dalam nota penyelidikannya.

-Advertisement-

Mengulas mengenai penurunan harga MSM, Wen Fei berkata, harga MSM telah menurun baru-baru ini menjadikan purata setakat ini bagi 2023 kepada RM3,866 satu tan, dicetuskan oleh beberapa faktor penurunan harga.

Beliau berkata, ia termasuk corak tanaman sawit yang lebih tinggi mengikut musim, paras stok minyak sayuran yang tinggi dalam kalangan negara pengguna minyak sayuran utama dan sentimen permintaan yang lemah untuk minyak sayuran termasuk minyak sawit.

Sementara itu, Wen Fei berkata, kesan El Nino terhadap pengeluaran sawit berkemungkinan bermula pada akhir separuh pertama 2024 atau awal separuh kedua 2024.

Beliau berkata, organisasi meteorologi utama dunia telah mengesahkan ketibaan El Nino sejak Jun 2023, dan keadaan sedemikian dijangka kekal untuk sekurang-kurangnya separuh kedua 2023.

“Secara umumnya, El Nino menyebabkan hujan yang lebih rendah, suhu lebih tinggi dan cuaca kering yang luar biasa di Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia).

“Bergantung kepada keamatan dan masa kejadian, anomali cuaca yang dicetuskan El Nino seterusnya akan mengakibatkan hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah melalui kegagalan tandan, pengguguran bunga dan fasa berbunga jantan yang berpanjangan,” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427