Warga Indonesia kurangkan makan nasi, beli beras murah

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA: Indonesia mengalami lonjakan harga beras mencecah rekod tertinggi pada bulan ini, dengan gerai makanan dan orang ramai terpaksa mengurangkan hidangan nasi dan membeli beras yang lebih murah.

-Advertisement-

Setakat hari ini, harga beras gred sederhana mencecah paras tertinggi 13,910 rupiah (RM4.16) sekilogram, melonjak 20 peratus berbanding Januari.

Kenaikan harga makanan akan menjadi isu utama bakal ditangani calon presiden Indonesia dalam kempen menjelang pilihan raya yang dijangka pada 14 Februari depan.

Kenaikan harga beras berpunca daripada cuaca kering akibat fenomena cuaca El Nino yang mengakibatkan sawah padi kering kontang sejak tiga bulan lalu di negara terbabit.

Negara lain juga juga terjejas akibat cuaca kering itu termasuk di India Julai lalu sehingga memaksa pengeksport beras terbesar dunia itu menyekat eksport beras berikutan kenaikan harga makanan, inflasi tinggi dan kebimbangan kekurangan beras akibat gangguan El Nino.

Seorang aktivis di Kesatuan Peladang Indonesia, Angga Hermanda memberitahu akhbar Straits Times bahawa beberapa wilayah dengan sistem pengairan yang lemah termasuk sebahagian wilayah Banten di Jawa terjejas akibat cuaca kering melampau, mengakibatkan penurunan pengeluaran padi.

Katanya, keadaan itu juga mendorong sebilangan petani di Banten dan Jawa Tengah beralih kepada penanaman jagung untuk menampung kekurangan bekalan air.

“Risiko tinggi untuk bersawah padi jika hanya mengharapkan tadahan hujan.

“Hanya mereka yang bergantung kepada pengairan masih menjalankan kegiatan pertanian seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, firma sekuriti, Bahana Sekuritas, dalam nota penyelidikannya, memaklumkan kenaikan harga beras sejak kebelakangan ini membimbangkan.

-Advertisement-

Ini berikutan Indonesia sudah melepasi musim menuai atau tempoh pengeluaran padi puncak dengan kemungkinan mengakibatkan tekanan inflasi akhir tahun susulan musim cuti dan pilihan raya akan datang.

Kerajaan Indonesia berusaha membendung kenaikan itu dengan melepaskan stok berasnya pada harga yang lebih rendah di pasaran tradisional.

Indonesia, tidak seperti negara pengeluar padi besar lain seperti India dan Vietnam, menggunakan sebahagian besar hasil tanaman padinya untuk kegunaan domestik.

Tahun lalu, Indonesia menghasilkan 31.5 juta tan beras, menurut Statistik Indonesia, dan negara keempat paling ramai penduduk di dunia dengan 275 juta penduduk itu makan kira-kira 30 juta tan beras setiap tahun.

Jumlah pengeluaran padi keseluruhan pada 2023 diunjur berkurangan sekitar 1.2 juta tan akibat fenomena El Nino, menurut Kementerian Pertanian.

Agensi logistik beras milik kerajaan, Bulog, bertanggungjawab mengimport, menguruskan simpanan dan mengagihkan beras kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Menjangkakan hasil tuaian yang lemah dan harga beras kekal tinggi, Presidennya, Joko Widodo, pada 13 Oktober lalu berkata kerajaan akan mengimport 1.5 juta tan beras tambahan, di samping dua juta tan yang sudah diimport.

– AGENSI

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427