JOHOR BAHRU: Dua pegawai khidmat pelanggan di Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (RILEK) di negeri ini dan seorang kerani Pusat Lesen Memandu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek perempuan berusia 23 hingga 34 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 9 malam tadi selepas satu operasi yang dijalankan hasil kerjasama sebuah syarikat konsesi untuk aplikasi utama kerajaan.
Beliau berkata, difahamkan kesemua suspek disyaki menerima wang rasuah daripada calon peserta yang menghadiri ujian Bahagian 1 Berkomputer Lesen Memandu untuk membantu calon lulus dalam ujian itu.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan yang mana dijangka ada lagi tangkapan akan dilakukan bagi membantu siasatan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
– BeritaHarian