KEBERGANTUNGAN generasi muda terhadap media sosial seperti YouTube dan TikTok untuk mempelajari kemahiran baharu tidak lagi asing kini. Ia seolah-olah menjadi guru kepada generasi ini untuk memahami sesuatu perkara lebih jelas dan mencubanya secara praktik.
Namun, tidak semua apa dipaparkan pembuat kandungan digital boleh dilakukan dengan tepat dan betul kerana sebenarnya ia masih memerlukan latihan berterusan dan sistematik seperti di institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan program kemahiran berkenaan.
Ini membolehkan mereka bukan sahaja mempelajari dan menguasai kemahiran diperlukan secara inklusif daripada pengajar TVET terlatih, bahkan berpeluang memperoleh kelayakan sijil kemahiran diiktiraf untuk keperluan potensi kerjaya mereka.
Pada masa sama, trend generasi muda ini memerlukan pengajar TVET meningkatkan kompeten dalam bidang kemahiran, sekali gus perlu mahir mengaplikasi metodologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) agar penyampaian latihan dapat dicapai sepenuhnya oleh pelajar.
Menjadi tanggungjawab pengajar TVET sentiasa cakna dengan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian latihan bersandarkan keupayaan pelajar generasi abad digital yang juga pengguna tegar media sosial.
Justeru, penggunaan method penyampaian latihan interaktif perlu diadaptasikan kerana Generasi Z lebih cenderung menggunakan medium digital dalam meneroka ilmu dan kemahiran baharu.
Oleh itu, tenaga pengajar TVET perlu mendalami kemahiran baharu seperti pembangunan bahan pengajaran digital lebih interaktif, latihan berpandukan permainan, eksplorasi, eksperimen atau uji cuba sebagai medium pengajaran alternatif.
Penggunaan teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) dalam latihan berpotensi menjadi antara kaedah baharu dalam penyampaian latihan kemahiran kerana kemampuannya memberikan pengalaman pembelajaran interaktif kepada pelajar.
Tingkat kefahaman, daya tumpuan pelajar
Menurut kajian penyelidik University of the West of Scotland, AR dan VR boleh meningkatkan pelbagai hasil pembelajaran seperti kefahaman, hafalan, pembabitan pelajar, daya tumpuan dan motivasi. Kaedah ini bukan sahaja merangsang daya fikir pelajar, bahkan memberi ruang pembelajaran kendiri berdasarkan daya usaha mencapai tahap kompetensi ditetapkan.
Institusi pendidikan di negara maju memberi kebebasan kepada pelajar menguasai kemahiran baharu melalui kaedah eksperimen, pembinaan projek kreativiti dan inovasi serta perkongsian pengalaman dan kepakaran bersama individu mahir.
Soalnya, sejauh mana kemampuan pengajar TVET mengembangkan kemahiran mengadaptasikan teknologi digital seperti AR dan VR serta penggunaan pendekatan lebih interaktif dalam pengajaran?
Mereka tidak lagi boleh bergantung kepada pembuat kandungan kreatif sedia ada di pasaran untuk menterjemahkan penyampaian latihan kemahiran berbentuk konvensional kepada kandungan lebih interaktif?
Ini persoalan perlu diteliti supaya sebarang revolusi dalam pengajaran TVET dapat seiring keperluan semasa dalam melahirkan belia mahir lebih berdaya saing di samping meningkatkan taraf pengajar lebih profesional dan kompeten.
Oleh itu, pendekatan holistik perlu dibuat bermula kesediaan tenaga pengajar TVET, latihan pembangunan, sumber dan kemudahan bersesuaian serta fleksibiliti dalam penyampaian dan pembelajaran program.
Maka, peranan pengurusan TVET sangat penting memacu perubahan supaya latihan kemahiran ditawarkan kekal relevan dan memenuhi keperluan industri semasa. Tindakan penyesuaian penggunaan teknologi dan latihan interaktif bukan sahaja dapat mengekalkan minat generasi abad digital, bahkan memberikan kesan kepada kebolehupayaan untuk lebih kreatif dan inovatif.
Penulis adalah Pengarah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas
-BeritaHarian