KUALA LUMPUR: Hubungan dagang dua hala Malaysia dan Ghana boleh dipertingkat menerusi pelbagai portfolio pelaburan baharu yang tersedia di negara itu menerusi bidang pembuatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kesihatan dan pelancongan.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara diterjemahkan menerusi eksport Malaysia ke Ghana bernilai AS$570 juta dalam tempoh 1995-2021 manakala eksport Ghana ke Malaysia meningkat lebih 20 peratus setahun daripada AS$2.31 juta kepada AS$425 juta dalam tempoh sama.
Produk utama yang dieksport Malaysia ke Ghana termasuk produk petroleum dan minyak sawit.
Pengurus Bahagian Tengah, Barat, Asia & Afrika Selatan Bahagian Promosi Eksport & Akses Pasaran, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Muhd Hairi Zainal Abidin, berkata, Ghana antara rakan dagang penting untuk negara.
“Kita melihat Ghana sebagai rakan dagangan penting yang mana sebahagian besar eksport Malaysia ke sana adalah minyak sawit serta produk petroleum. Justeru, kita menyasar meluaskan produk eksport ke Ghana terutama bahan makanan diproses, produk kimia serta peralatan mesin,” katanya pada Forum Perdagangan Malaysia-Ghana di sini, baru-baru ini.
Forum empat hari itu dihadiri lebih 100 delegasi kedua-dua negara.
Ketua Delegasi Ghana merangkap Timbalan Menteri Luar Negeri Ghana, Kwaku Ampratwum – Sarpong berkata sudah tiba masanya usahawan kedua-dua belah pihak merancang meningkatkan hubungan dua hala dalam perdagangan dan pelaburan.
“Kami mahu memanfaatkan peluang yang wujud di Malaysia dan melihat cara terbaik kita boleh menarik pelaburan daripada ketua-ketua industri di Malaysia,” katanya.
Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pelabur Ghana, Edward Ashong Lartey pula menambah usahawan Malaysia boleh meneroka peluang pelaburan dalam pelbagai bidang baharu di Ghana terutama sektor pembuatan sebagai pengeluar produk tulen (OEM) untuk industri automotif dan pemprosesan termasuk sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perkhidmatan kewangan, kesihatan dan pelancongan.
Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Promosi Pelaburan Ghana untuk membuka pintu kepada pelabur dan usahawan kedua-dua negara mengembangkan perniagaan.
Memeterai MoU itu MICCI diwakili oleh Naib Presiden, Datuk Azman Shah Mohd Yusof manakala Ghana di wakili Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pelabur, Edward Ashong Lartey.
Azman ketika ditemui berkata, sebagai sebuah NGO yang menjurus kepada pengembangan pelaburan serta menarik pelaburan asing.
“MICCI akan memainkan peranannya membantu syarikat antarabangsa datang melabur di Malaysia dan pada masa sama membantu syarikat tempatan meluaskan sayap ke luar negara termasuk rantau Afrika,” katanya.
-BeritaHarian