Tze Yong tekad bangkit gegar Terbuka Perancis

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark semalam, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong percaya dia mempunyai masa untuk kembali ‘mengecas’ tenaganya sebelum beraksi di Terbuka Perancis, minggu depan.

Tze Yong yang muncul naib juara Terbuka Artik, Ahad lalu gagal mengekalkan sentuhan kemenangannya ke atas pemain China, Lu Guang Zu apabila tewas 18-21, 11-21 pada aksi yang berlangsung di Arena Jyske Bank di Odense.

Di Terbuka Artik, pemain berusia 23 tahun itu berjaya mengatasi Guang Zu di suku akhir dalam laluannya muncul naib juara.

Tze Yong yang kini menghuni ranking ke-17 dunia, berkata dengan tempoh lebih kurang seminggu sebelum aksi di Terbuka Perancis, dia mempunyai masa untuk melakukan pemulihan selepas mengharungi jadual kejohanan yang padat sejak bulan lalu.

Ditanya sama ada dia mampu untuk menampilkan persembahan lebih baik di Terbuka Perancis, Tze Yong, berkata: “Saya percaya saya boleh.

“Saya mempunyai masa untuk berlatih bagi melakukan persiapan untuk menghadapi Terbuka Perancis,” katanya.

Di Terbuka Perancis, Tze Yong akan membuka tirai saingan menentang pemain India, Priyanshu Rajawat di pusingan pertama.

Jika menang, dia akan menentang pemenang perlawanan antara dua lagi pemain India, HS Prannoy dengan Lakshya Sen sementara juara dunia, Kunlavut Vitidsarn, Chou Tien Chen (Taiwan) dan Koki Watanabe antara yang berkemungkinan menjadi lawannya andai melangkah ke suku akhir.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5464