PUTRAJAYA: Putrajaya: Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar kini berjumlah RM81 juta, sekali gus menghampiri sasaran RM100 juta yang ditetapkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah kutipan besar yang diperoleh dalam tempoh singkat itu menunjukkan soladiriti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kutipan AAKRP itu akan dipastikan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman dan kemudahan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.
Katanya, daripada jumlah itu, kerajaan menyumbang RM10 juta seperti diumumkan pada pembentangan Bajet 2024 lalu, manakala RM71 juta lagi daripada penyumbang luar.
“Saya terharu pada masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta. Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepada syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam.
“Dana ini perlu diurus dengan cekap dan jangan ambil kesempatan untuk membina bangunan masing-masing, mengindahkan pejabat atau membelanjakan wang itu sesuka hati, padahal dana yang dikutip itu untuk bantuan kemanusiaan,” katanya berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini, hari ini.
Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.
Antara penyumbang terbesar untuk AAKRP semalam adalah Khazanah Nasional Bhd dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM15 juta sumbangan Yayasan Albukhary dan RM5 juta daripada YTL Corporation Bhd.
Pertempuran terkini di Palestin membabitkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober lalu mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua pihak.
Anwar berkata, orang ramai yang mahu menyumbang untuk membantu rakyat Palestin perlu memilih saluran yang betul bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasaran.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat beberapa kejadian membabitkan segelintir pemungut dana termasuk badan sukarela yang tidak telus dalam menyalurkan bantuan.
-BeritaHarian