PETALING JAYA: Veteran tentera yang bersara sebelum 2013 berharap Belanjawan 2024 yang akan dibentang Jumaat ini, akan memberikan rangsangan yang diperlukan bagi pencen mereka.
Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Shahruddin Omar berkata, Akta Pencen 1980 yang dipinda 10 tahun lalu bagi memberikan pencen lebih tinggi kepada veteran yang berkhidmat sekurang-kurangnya 21 tahun, dan kenaikan tahunan 2 peratus.
Bagaimanapun, pindaan itu tidak terpakai bagi anggota tentera yang bersara sebelum 2013, menyebabkan mereka sekadar menerima pencen bulanan antara RM500 hingga RM2,000.
Shahruddin mendakwa, secara puratanya, kira-kira 86,000 veteran dan balu hanya menerima RM1,000 sebulan dan sedang berusaha mendapatkan tawaran lebih baik.
“Mereka sudah bergelut terlalu lama dan pencen mereka tidak cukup untuk menampung kenaikan kos sara hidup.
“Ramai antara mereka kini berusia lebih 60 tahun dan memerlukan bantuan kewangan. Mereka hidup bawah paras kemiskinan,” katanya kepada FMT.
PVATM meminta kerajaan meneruskan pembayaran semasa bantuan khas untuk pesara veterannya, dikenali sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP).
Shahruddin berkata, bantuan PKKP merangkumi 20% daripada pendapatan veteran, dan pemansuhannya akan teruk menjejaskan mereka.
Sementara itu, menjelang Bajet 2024, Pakar Pertahanan dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mizan Aslam berkata, sudah tiba masanya kerajaan melabur dalam teknologi terkini di tengah-tengah peningkatan ancaman siber.
“Kerajaan harus lebih banyak melabur dalam keselamatan siber dan memperoleh aset dengan teknologi terkini, seiring pembiayaan untuk melatih kakitangannya dengan sewajarnya.
“(Hal ini kerana) ancaman terbesar bagi kita pada tahun-tahun mendatang akan (wujud dalam bentuk) serangan siber,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu melabur untuk mengukuhkan keselamatan sempadan, terutamanya di sempadan negara dengan Thailand.
“Kerajaan harus membina tembok di sepanjang sempadan untuk mencegah jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan barangan subsidi seperti paket minyak masak,” katanya.
-BeritaHarian