Prestasi atlet olahraga padang mengecewakan

Estimate Reading Time: 2 minutes

HANGZHOU: Ketika atlet olahraga trek meraikan kejayaan menghadiahkan tiga gangsa kepada negara di temasya Sukan Asia, Hangzhou, atlet padang negara dilihat bergelut mencatatkan keputusan memberangsangkan.

-Advertisement-

Dua situasi yang berbeza kini melanda kem olahraga negara apabila atlet padang negara dilihat beraksi di bawah prestasi sebenar dan gagal mencatatkan keputusan terbaik musim ini.

Bermula dengan dua atlet baling tukul besi Jackie Wong dan Grace Wong. Jackie hanya melakukan 62.79 meter (m) jauh dari rekod kebangsaan miliknya (68.55m) diikuti Grace berada di kedudukan nombor 10 dari 11 peserta 57.46m.

Atlet lompat jauh dan kijang negara, Andre Anura melakukan lompatan 6.71m dalam acara lompat jauh dan 16m (lompat kijang).

Andre adalah pemenang rekod acara lompat jauh (8.02m) dan pemenang pingat emas dalam acara lompat kijang di Sukan SEA (16.51m).

Atlet lompat bergalah Nor Sarah Adi gagal menamatkan saingan dalam ranking kerana tidak mencatatkan sebarang lompatan apabila gagal dalam ketiga-tiga percubaannya pada ketinggian 3.80m.

Sementara atlet lompat tinggi Norliyana Kamaruddin menamatkan saingan dengan lompatan 1.65m jauh daripada kemampuannya 1.81m.

Muhammad Irfan Shamshuddin menamatkan saingan di kedudukan keenam dari 11 peserta dengan balingan 58.94m

Manakala atlet lempar cakera Queenie Ting Kung Ni yang juga pemenang rekod kebangsaan dengan balingan 52.36m, hanya mampu merekodkan 49m.

-Advertisement-

Bagi Norliyana dia mengakui kecewa dengan keputusan yang diraih, 1.65m jauh dari pencapaian terbaiknya 1.81m.

Dia turut mengakui ada sesuatu yang hilang dalam dirinya sejak beberapa sehingga menyebabkan fokusnya terganggu.

“Jika berdasarkan prestasi, ini adalah keputusan paling teruk. Saya tak tahu kenapa dalam masa beberapa bulan ini saya hilang tumpuan.

“Saya cuba cari balik rasa ini dengan mengubah angin dan suasana tapi masih belum jumpa.

“Saya sendiri tak pasti, mental, fizikal, fokus, motivasi semua lari. Banyak benda yang hilang.

“Mungkin saya perlu berehat seketika untuk mencari semula Liyana,” katanya yang juga pemenang rekod acara heptathlon dilakukannya ketika temasya Sukan SEA Hanoi, 5262 mata.

Bukan hanya Liyana, Jackie turut meluahkan rasa yang sama dan kini menimbulkan persoalan apa yang tidak kena kepada atlet padang negara?

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427