Komuniti maritim dinasihat peka terhadap ramalan cuaca sebelum ke laut

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA- Komuniti maritim di perairan Melaka dan Negeri Sembilan dinasihatkan supaya sentiasa peka dan mengambil kira ramalan cuaca dan keadaan laut yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut memandangkan keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

-Advertisement-

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata ini bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda mereka terjamin selain mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku di laut.

Beliau berkata komuniti maritim juga disaran menghubungi pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat keselamatan di laut dengan lebih terperinci dan mengambil langkah keselamatan serta mematuhi undang-undang yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun ini sedikit sebanyak memberi impak kepada komuniti maritim yang menjalankan aktiviti di laut seperti nelayan bot kecil, pengusaha bot pelancong, penumpang, pengusaha resort dan chalet pelancongan serta pekerja sektor perkapalan.

-Advertisement-

“Ia turut memberi kesan kepada keluarga yang merancang atau sedang bercuti di lokasi berhampiran laut dan menjalankan aktiviti pantai atau pulau,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azman berkata sebagai agensi peneraju mencari dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia, agensi itu sentiasa mengambil inisiatif meningkatkan rondaan keselamatan dan penguatkuasaan di sepanjang perairan di bawah tanggungjawabnya sebagai langkah pemantauan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata pada masa sama operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah serta pemantaun keselamatan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan akan terus ditingkatkan.

Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427