TAUFAN Mocha membadai Myanmar dan Bangladesh pada Mei lalu, bukan sekadar memusnahkan penempatan rakyat kedua-dua negara itu, bahkan juga kem pelarian.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan taufan kuat seperti Haiyan pada 2013 yang memusnahkan kawasan tengah Filipina dan mengakibatkan banjir di Indonesia sehingga menenggelamkan kediaman serta memusnahkan harta benda.
Hakikatnya, kita bukan sekadar menyaksikan puting beliung dan taufan super, malah Julai lalu direkodkan sebagai bulan paling panas di planet ini dalam tempoh 174 tahun. Bahananya mencetuskan kebakaran hutan di Kanada, gelombang haba ekstrem di Perancis, Sepanyol, Jerman, Poland dan Itali serta gelombang haba marin di sepanjang garis pantai dari Florida, Amerika Syarikat (AS) hingga Australia.
Pendek kata, fenomena cuaca melampau ini berlaku di seluruh dunia dengan kekerapan dan kesan lebih besar kepada manusia dan harta benda serta haiwan.
Walaupun impak itu paling jelas dilihat, perubahan iklim ternyata mempunyai banyak kesan lain ke atas kesihatan, terutama terhadap penyakit. Projek dilaksanakan Medecins Sans Frontieres (MSF) tidak terkecuali turut terkesan akibat penyakit tahap tinggi disebabkan bawaan vektor, bawaan makanan dan penyakit bawaan air, malah ia membimbangkan kami kerana fenomena itu diunjurkan meningkat apabila krisis iklim semakin memuncak.
Diramalkan terdapat 15 juta kes malaria setiap tahun dengan 30,000 kematian dikaitkan berpunca daripada penyakit itu, sekali gus meningkat daripada apa yang sudah sedia kita saksikan sekarang.
Satu bilion penduduk lagi dijangka terdedah kepada denggi, bukan sahaja di Asia Pasifik yang sememangnya lebih bermaharajalela, bahkan di seluruh dunia. Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini memberi amaran terdapat peningkatan risiko penyakit virus bawaan nyamuk seperti denggi dan chikungunya di Eropah akibat perubahan iklim.
Kita sudah melihat wabak taun di sekurang-kurangnya 30 negara, walaupun ia disebabkan pelbagai faktor, perubahan iklim ternyata salah satu daripadanya.
Perubahan iklim turut dikaitkan dengan ketidakjaminan makanan dan kekurangan zat makanan atau malnutrisi. Dengan fenomena cuaca melampau seperti gelombang haba dan peningkatan hujan, kemarau serta banjir, ia memberi kesan kepada masyarakat petani dan nelayan.
Fenomena cuaca ekstrem ini menjejaskan segalanya daripada hasil tanaman diusahakan kepada haiwan digunakan untuk mengusahakan tanah dan bilangan ikan yang dapat ditangkap dengan pukat.
Malangnya, kesan itu tidak berakhir di situ, sebaliknya impak perubahan iklim termasuk penyebaran penyakit tidak berjangkit, penghijrahan paksa, migrasi dan kemunculan konflik. Semua ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa, melainkan jika kita mengambil tindakan segera.
Lompong besar tak mampu diisi
Realitinya, organisasi kemanusiaan seperti MSF sudah pun melihat kesan ini dan merawat pesakit dalam komuniti paling terdedah. Namun, kami tidak mampu melakukan lebih daripada keupayaan sekadar termampu.
Ke mana-mana sahaja kami pergi melaksanakan operasi sukarelawan dari Asia Pasifik ke Asia Barat dan Afrika, kami melihat lompong besar yang tidak mampu diisi. Negara mempunyai sumber terhad sedang mengalami kemusnahan terburuk dibawa krisis perubahan iklim.
Pesakit Rohingya kami di Cox’s Bazar, Bangladesh – yang mengalami penganiayaan berdekad-dekad dan sudah sedia terbeban akibat dikepung di kem pelarian terbesar di dunia – berulang kali diancam banjir dan taufan yang melanda kem mereka.
Pesakit kami di Kepulauan Kiribati menghadapi perubahan iklim dan persekitaran yang mengancam mata pencarian, sekali gus memburukkan lagi risiko penyakit yang terdedah kepada mereka.
Realitinya, kami sudah membangkitkan persoalan ini dan menyampaikan peringatan kerana melihat keperluan besar disebabkan krisis perubahan iklim, pada masa sama, kami bimbang keperluan melebihi keupayaan kami untuk bertindak balas.
Kita memerlukan negara paling bertanggungjawab terhadap pemanasan global 1.2 darjah di atas paras praindustri ini untuk membantu penduduk dunia paling terjejas, mengambil tanggungjawab dan menyediakan sokongan kewangan serta teknikal kepada golongan paling terdedah.
Kerajaan di negara paling terjejas termasuk di Asia Pasifik, bukan sahaja mesti memaksa negara pencemar utama membantu dalam mengurangkan dan mengurus kesan perubahan iklim, bahkan meletakkan dasar dan tindakan afirmatif iklim dalam menangani serta menterbalikkan kesan isu ini.
Kita sudah membaca komitmen pemimpin dunia. Pada mesyuarat mereka baru-baru ini, negara Kumpulan 20 (G20) komited kepada sistem kesihatan lebih hijau dan berdaya tahan iklim. ASEAN yang turut dianggotai lima daripada 20 negara paling berisiko di dunia sudah mengumumkan strategi bercita-cita tinggi untuk berusaha ke arah neutraliti karbon. Agenda Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (COP 28) pada November meningkatkan tumpuan pada kesihatan, bantuan dan tindak balas bencana.
Realitinya, saat ini penting dan sangat mendesak. Namun, komitmen dengan cita-cita tinggi sahaja tidak cukup, sebaliknya negara anggota blok serantau mesti melihatnya dan mengambil tindakan sebenar. Hari ini, kita berada di landasan berbahaya dan tindakan segera perlu diambil sekarang.
Krisis perubahan iklim memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat. Individu dan organisasi juga mesti memahami tingkah laku manusia sendiri adalah sebahagian daripada masalah. Kita perlu bertindak balas bersama dalam solidariti dengan semua untuk kesihatan semua.
-BeritaHarian