KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengingatkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri, esok.
Seramai 47,728 pegawai PDRM dan pasangan dijangka melaksanakan proses mengundi di 260 tempat dengan 377 saluran mengundi diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai Pusat Pengundian Awal.
Razarudin berkata, tiada alasan untuk mana-mana pegawai dan anggota tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Mengundi ini adalah hak yang diamanahkan kepada kita untuk dilaksanakan.
“Ini adalah manifestasi kepada rakyat bahawa PDRM mendukung proses demokrasi dalam mengundi,” katanya dalam satu rakaman video, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, semua warga PDRM dan pasangan yang terbabit dalam pengundian awal diminta melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Saya turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bertugas kepada semua warga PDRM yang terbabit sejak proses Penamaan Calon, tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada Sabtu ini (12 Ogos) dan pasca PRN.
“Kepada petugas PDRM, laksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan berhemah, kekalkan tahap profesionalisme yang tinggi, kawal emosi ketika berhadapan dengan sebarang bentuk provokasi,” katanya.
– Berita Harian