Rosland, Adibah cerai talak satu selepas 28 tahun hidup bersama

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Hubungan rumah tangga selama 28 tahun dibina Rosland Othman, 50, dengan isteri pertama, Adibah Abdul Mutalib, 50, terlerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

-Advertisement-

Rosland yang juga suami pelakon, Miera Leyana melafazkan cerai kepada Adibah tepat jam 10.50 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali.

Peguam, Junid Ramali yang mewakili Adibah berkata, perceraian berlaku antara Rosland selaku plantif dan anak guamnya, Adibah (defendan) pada hari ini, selepas Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) melaporkan perdamaian gagal dicapai.

“Menerusi laporan JKP memaklumkan kepada mahkamah perdamaian gagal dicapai. Mereka tidak boleh mendamaikan kedua-dua belah pihak, jadi mahkamah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada pihak plantif (Rosland) melafazkan talak satu.

“Jadi, plantif (Rosland) terus melafazkan cerai terhadap defendan (Adibah),” katanya menjelaskan usaha Adibah yang mahu menyelamatkan rumah tangga dibina itu tidak berjaya.

Junid berkata, sebagai peguam yang mewakili Adibah sudah memaklumkan sejak peringkat awal agar anak guamnya itu bersedia dengan sebarang keputusan akan diterima.

“Selalunya kes membabitkan perceraian ini difailkan oleh isteri, tetapi apabila ia (perceraian) difailkan oleh suami dalam kes Adibah ini, memang akan berakhir dengan perceraian juga.

“Sebabnya, suami yang memang nak ceraikan isteri. Jadi, pihak kami sudah cuba sedaya-upaya dan akhirnya sampai di sini sahaja perjuangan itu,” katanya kepada Harian Metro.

 

Rosland dan Miera mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.
Rosland dan Miera mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

 

-Advertisement-

Ditanya mengenai tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak dibuat Rosland pada hari ini, Junid berkata, ahli perniagaan itu menuntut hak penjagaan terhadap dua anak perempuannya berusia 12 dan 11 tahun.

“Mengenai kes tuntutan hadanah ini, bekas suami anak guam saya memang membuat tuntutan hak penjagaan terhadap dua orang anaknya yang masih kecil, manakala tiga orang lagi anak perempuan sudah besar.

“Perkara ini masih di peringkat awal, tetapi kita akan bagi pembuktian menunjukkan bahawa anak itu memang berhak berada di bawah jagaan ibu.

“Hari ini, untuk kes tuntutan hadanah hanya sebutan bagi melengkapkan dokumen, sebelum mahkamah mengarahkan pada 4 September depan untuk semua dokumen lengkap dan dua anak itu juga perlu dibawa ke mahkamah untuk hakim dengar pendirian anak,” katanya.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Rosland dan Adibah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata yang berusia antara 11 sehingga 26 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan Miera Leyana pada Julai 2020.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427