‘Penggunaan Akta Hasutan bertentangan janji Anwar ketika ketuai pembangkang’ – NGO peguam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mengguna Akta Hasutan 1948 bagi mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, disifatkan bertentangan dengan janji ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang untuk melakukan pemansuhan dan pembaharuan terhadap undang-undang itu.

-Advertisement-

Pengarah Lawyers of Liberty, Zaid Malek, berkata Akta Hasutan tidak harus menjadi sebahagian daripada sistem keadilan jenayah negara

“Sekali lagi, Akta Hasutan kini digunakan terhadap pesaing politik Kerajaan yang kini memegang kuasa persekutuan

“Sungguh dahsyat kerana perkara ini berlaku di bawah kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (PH) yang ketika menjadi pembangkang mengutuk penggunaan dan kewujudan Akta Hasutan sebagai menindas dan menghina kebebasan bersuara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zaid berkata, kecaman PH dan pemimpinnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terhadap undang-undang itu hanya terpakai apabila pendakwaan dikenakan terhadap mereka.

“Kini, apabila berkuasa, mereka tidak ragu-ragu untuk menggunakannya. Ucapan Muhammad Sanusi yang didakwa menyinggung perasaan berhubung keputusan memilih Datuk Seri Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar Selangor, sama sekali tidak berbaur hasutan atau jenayah.

-Advertisement-

“Adalah wajar apabila seseorang mempersoalkan pemilihan Menteri Besar yang mungkin secara langsung atau tidak langsung menyentuh keputusan Sultan masing-masing untuk berbuat demikian,” katanya.

Tambahnya, tindakan kerajaan mendakwa Muhammad Sanusi atas ucapannya, secara berkesan menghalang wacana politik yang sah dan melanggar kebebasan bersuara yang dilindungi mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perdana Menteri, sepatutnya tahu mengenai perkara itu selepas didakwa atas tuduhan sama kerana tidak menghormati institusi diraja sebelum ini termasuk menggesa Yang di-Pertuan Agong membatalkan pengisytiharan darurat pada 2021.

“Adalah tidak sah untuk menggunakan akta itu terhadap PH dan penyokongnya sebelum ini, seperti yang dilakukan sekarang terhadap Perikatan Nasional (PN) dan penyokong mereka. Itu tidak berubah hanya kerana PH berkuasa. Tiada kerajaan yang sah boleh dibenarkan untuk menunjukkan kuasa yang diberikan kepada mereka.

“Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan supaya menggantung penggunaan Akta Hasutan sementara menunggu pemansuhan pada sidang Parlimen akan datang. Kami selanjutnya menggesa Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan hasutan terhadap Muhammad Sanusi,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427