TEMERLOH: Seorang guru wanita berputih mata apabila rantai perkahwinan yang dipakai sejak 25 tahun lalu diragut di hadapan pasar raya TF, di Mentakab, Temerloh semalam.
Akibat kejadian itu, mangsa, GeethaKrishna Nair, 49, yang menetap di Taman Seri Layang Heights, Mentakab, kerugian RM 30,000 dalam sekelip mata.
Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.00 tengah hari ketika mangsa bersama anaknya selesai membeli barang di pasar raya terbabit.
“Dalam perjalanan ke keretanya, mangsa tiba-tiba didatangi suspek disyaki seorang lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y16 dan terus meragut rantai leher dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mengsa tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa setelah rantai lehernya diragut manakala suspek terus memecut motosikalnya dan meninggalkan tempat kejadian.
“Suspek mengenakan pakaian jaket lengan panjang warna hitam dan memakai topi keledar warna kelabu serta ‘visor’ gelap menutupi muka.,” katanya.
Menurutnya, melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV dari premis berdekatan mendapati, motosikal yang digunakan peragut adalah jenis Yamaha Y16 berwarna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.
“Mangsa memberitahu suspek telah meragut rantai perkahwinan yang dipakainya dengan berat anggaran 80 gram dan bernilai RM30,000 dalam kejadian itu,” katanya.
Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
– BH