PUTRAJAYA: Tiada sebarang perbincangan dibuat kerajaan untuk campur tangan bagi mengimbangi kejatuhan pasaran modal dan ringgit ketika ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kerajaan melihat setiap campur tangan bagi menyokong pasaran modal dan ringgit akan membabitkan kos yang besar.
Sebaliknya, katanya, kerajaan akan menunggu impak positif yang akan terhasil menerusi penstrukturan semula ekonomi termasuk langkah subsidi bersasar yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Tiada perbincangan dalam kerajaan untuk campur tangan berikutan kejatuhan pasaran ekuiti dan ringgit.
“Kerajaan akan lihat perkembangan dan hasil pelaksanaan penstrukturan ekonomi dan subsidi bersasar. Selepas itu, kita akan lihat konsolidasi fiskal akan berlaku untuk menyokong pasaran.
“Saya jangkaan kita akan melihat kesan penstrukturan ekonomi dan konsolidasi fiskal menjelang akhir tahun termasuk selepas pembentangan Belajawan 2024 pada Oktober ini. Buat masa ini, tiada cadangan untuk campur tangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi libat urus kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di sini, hari ini.
– BH