Warga asing terbabit scam tak dapat didakwa atas kesalahan penipuan – Azalina

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengakui tidak dapat mendakwa warga asing yang terbabit dalam jenayah scam atas kesalahan penipuan, sebaliknya mereka hanya disabit atas kesalahan imigresen dan dihantar pulang ke negara asal.

-Advertisement-

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berikutan hasil siasatan tidak dapat mengaitkan warga asing yang ditangkap kesalahan jenayah tipu kesalahan lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, warga asing terbabit akan didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) sekiranya melakukan apa-apa kesalahan imigresen, dan akan dihantar pulang ke negara asal selepas mereka selesai menjalani hukuman.

“Keputusan untuk mendakwa mana-mana orang bagi apa-apa kesalahan jenayah adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan serta sama ada ia mencukupi bagi membuktikan semua elemen kesalahan di mahkamah.

-Advertisement-

“Dalam hal ini, warga asing yang ditangkap dan disiasat bagi kesalahan jenayah scam tidak dapat didakwa dengan kesalahan penipuan kerana keterangan yang diperoleh hasil siasatan tidak dapat mengaitkan warga asing berkenaan dengan kesalahan jenayah tipu dan kesalahan lain yang berkait dengannya.

“Oleh itu, mana-mana warga asing yang didapati melakukan apa-apa kesalahan berkaitan imigresen akan didakwa mengikut Akta 155 dan dihantar pulang ke negara asal selepas mereka menjalani hukuman,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang bertanya mengapa kerajaan hanya mendakwa warga asing yang terbabit dalam jenayah scam di Malaysia dengan kesalahan imigresen dan menghantar mereka pulang ke negara asal, dan tidak mendakwa mereka atas kesalahan penipuan.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427