KUALA LUMPUR: Pengalaman lebih empat dekad dalam dunia lakonan memberi kelebihan kepada bintang senior, Fatimah Abu Bakar, 68, untuk dilantik sebagai Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), seperti diumumkan agensi itu, baru-baru ini.
Kepakaran Fatimah sebagai jurulatih lakonan, selain pengalaman dalam dunia kewartawanan dianggap bonus bagi menggalas tanggungjawab itu.
Mengulas lanjut pelantikan itu, Fatimah mengakui hampir menolak pelawaan FINAS kerana menganggap dirinya bukan individu sesuai, selain memikirkan tugas yang bakal dipikul berat dan mencabar.
“Tanggungjawab yang datang bersama pelantikan itu sangat besar dan amat mencabar buat saya. Pada mulanya saya agak keberatan menerima tawaran itu. Ada ramai lagi penggiat seni yang lebih layak berbanding saya yang bukan siapa-siapa ini.
“Bagaimanapun, FINAS meyakinkan saya bahawa pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mampu menyumbang sesuatu.
“Ini dilihat sebagai penambahbaikan kepada industri kreatif sejajar pembaharuan yang sedang dilaksanakan agensi kerajaan itu.
“Apabila difikirkan kembali, ada kebenaran alasan mereka itu. Mungkin sudah tiba giliran saya untuk menabur khidmat kepada FINAS.
“Tidak mahulah nanti orang kata saya hanya pandai kritik sahaja, tetapi apabila diberi peluang untuk bersama-sama FINAS mencari jalan penyelesaian, saya tolak,” katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman mengumumkan pelantikan Fatimah sebagai ahli perbadanan itu, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Fatimah menambah, faktor lain yang mendorong beliau menerima pelantikan sebagai Ahli FINAS adalah sokongan keluarga.
“Keluarga sentiasa sokong apa sahaja yang saya lakukan. Apabila mereka dapat tahu saya dilantik menjadi Ahli FINAS, mereka sangat teruja dan minta saya terima sahaja tanpa banyak bicara. Mereka percaya jika niat saya ikhlas dan jujur, insya-Allah segala urusan Allah akan permudahkan.
“Sejujurnya, bimbang juga jika saya tolak peluang ini, suatu hari nanti cucu saya sendiri akan persoalkan tindakan saya itu yang enggan membantu industri kreatif walaupun peluang sudah terbentang di depan mata,” ujar pelakon Imaginur ini sambil ketawa.
Mengulas misi yang bakal dilaksanakan, Fatimah atau lebih akrab disapa Kak Fati berkata, beliau mahu melihat industri perfileman tempatan diperkukuhkan dengan infrastruktur yang lebih baik.
Beliau juga mahu persekitaran industri kreatif yang kondusif untuk memudahkan pembikin filem berkarya.
“Saya baru dilantik dan buat masa ini saya masih cuba menyesuaikan diri dengan cara kerja FINAS. Saya bukan orang kerajaan dan masih banyak perkara yang perlu saya pelajari termasuk mengenai dasar FINAS.
“Saya lihat pembikin filem tempatan masih mampu menyinar di luar negara apabila filem mereka banyak memenangi anugerah anjuran festival filem antarabangsa biarpun berdepan pelbagai kekangan.
“Sebelum ini, merekalah yang kena cari dana, fikir soal promosi dan pemasaran. Apabila FINAS memudahkan proses kerja kreatif mereka, mereka akan lebih fokus.
“Justeru saya percaya, jika kita mampu menyediakan infrastruktur yang lebih baik, persekitaran yang lebih kondusif, selesa dan sihat kepada semua pemain industri termasuk mereka yang berada di belakang tabir, pasti hasilnya kelak lebih berkualiti dan setanding dengar karya dari luar.
“Kita ada ramai bakat yang sangat hebat. Cuma mereka ini tidak dikenali. Saya percaya dengan sokongan diberi, mereka mampu menyerlah,” katanya yang pernah menjadi tenaga pengajar program realiti popular, Akademi Fantasia (AF) ini.
Fatimah turut menyifatkan tugasnya dalam perbadanan itu tidak ubah seperti tanggungjawab seorang ibu terhadap keluarganya.
“Tugas saya dalam FINAS lebih kepada mengingatkan dan memberi teguran untuk perbadanan terbabit lebih serius menyelesaikan segala isu yang masih tertangguh.
“Sepatutnya, segala isu yang membelenggu industri sudah lama diselesaikan. Seperti seorang ibu yang sentiasa tegur dan mengingatkan anak-anaknya, itulah tugas serta tanggungjawab saya dalam perbadanan itu nanti.
“Tidak banyak yang saya boleh kongsi mengenai misi saya ini kerana masih belum ada kesempatan untuk bertemu dengan semua ahli perbadanan. Insya-Allah, dalam pertemuan itu nanti, banyak perkara yang menjurus kepada usaha untuk membangunkan industri kreatif akan dibincangkan,” katanya.
Berasal dari Pulau Tikus, Pulau Pinang dan bergiat aktif dalam dunia seni sejak 1984.
Berkahwin dengan Syed Zainal Rashid Al-Yahya dan dikurniakan empat anak perempuan iaitu Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana yang semuanya bergiat aktif dalam bidang lakonan.
-BH