Pendaftaran undi pos PRN 6 negeri dibuka bermula 15 Jun

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pendaftaran untuk pengundian pos bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuka bermula 15 Jun ini.

-Advertisement-

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, tarikh akhir pendaftaran akan diumumkan selepas mesyuarat khas SPR diadakan bagi membincangkan tarikh pengundian bagi PRN terbabit.

Katanya, mereka yang layak mendaftar sebagai pengundi pos ialah pekerja pilihan raya, pegawai SPR, ahli media, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan pegawai di agensi atau organisasi kerajaan tertentu.

Pendaftaran perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web https://myspr.spr.gov.my manakala anggota tentera dan polis perlu mendaftar secara manual.

“Pengundi pos luar negara perlu menghubungi SPR untuk mengesahkan atau mengemaskini alamat mereka.

“Mereka yang mengundi dari luar negara perlu menghubungi talian 03-8892 7218 atau e-mel pthluarnegara@spr.gov.my selewat-lewatnya pada 23 Jun ini,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mahu SPR membuka segera permohonan untuk menjadi pengundi pos bagi enam negeri yang akan menghadapi PRN.

-Advertisement-

Jawatankuasa Pemandu BERSIH, berkata SPR tidak semestinya menunggu sehingga semua negeri terbabit membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebelum membuka permohonan pengundi pos.

Katanya, ini kerana permohonan pengundi pos itu termasuk pengundi kategori 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara yang perlu memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti.

“SPR perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat 600 peratus daripada 7,979 pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada 48,109 pada PRU15.

“Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi dan lebih ramai yang layak dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti.

“SPR perlu sentiasa ingat sudah menjadi tanggungjawab Perlembagaan untuk memastikan setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian yang mencukupi bagi mereka melaksanakan tanggungjawab dalam pilihan raya,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427